Afdlin kecewa sikap juri malukan peserta?




Walaupun akur dengan kemenangan orang lama, Osbon di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM), tidak siapa tahu gelora di hati kumpulan Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik.

Menjadi peserta pilihan peminat, Boboi tampil dengan pelbagai kreativiti setiap minggu, namun Boboi terpaksa akur di tempat kedua setelah tewas dengan Osbon yang diterajui Os dan Abon.

Ketika sidang media selepas tamat malam penentuan minggu lalu, Boboi dilihat tidak banyak bercakap. Harun misalnya, lebih selesa mendiamkan diri dan menyerahkan segala soalan dijawab Afdlin.

Bagi Afdlin, takhta MLM memang layak menjadi milik Osbon, malah mereka berbangga dengan kemenangan Os dan Abon yang lebih senior daripada mereka. Bagaimanapun, dari riak wajahnya jelas menunjukkan Afdlin sebenarnya kecewa.

Sementara itu, Afdlin, turut menegur sikap juri yang menggunakan kuasanya untuk memalukan peserta yang bertanding.

“Saya memang tak setuju dengan juri yang suka memalukan peserta, tidak kira apa jua pertandingan. Jika teguran yang diberi itu membina, ianya perlu dan jika tidak, jangan sampai kelantangan itu mengaibkan orang.

“Saya bercakap di pihak juri kerana saya pernah menjadi juri. Jika tidak suka, cakap saja tidak suka dan jangan bercakap sehingga mereka terasa.

“Peserta yang datang untuk bertanding adalah dijemput. Sama seperti kita ke rumah orang. Buat apa dijemput, jika selepas itu dihamburi dengan maki hamun. Jadilah orang yang bijak dalam menggalas tanggungjawab,” katanya.

Apa yang diluahkan Afdlin dalam sidang media itu bagaimanapun pernah diluahkannya menerusi laman sosial, Facebook miliknya, sehari sebelum final MLM.
Kenyataan itu dibuat lebih menjurus kepada juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan. Malah Chef Wan turut membidas kenyataan Afdlin, namun membuang entrinya tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, ketika malam final lalu, Afdlin meminta izin kepada AC Mizal untuk memeluk Chef Wan selepas persembahan pertamanya.

Dari situ, penonton dan peminat dapat menilai Afdlin adalah individu yang profesional dan tidak mengaitkan masalah peribadi dengan kerja.



Designed By Asal Pelik