Bagai bulan jatuh ke riba



MESRA...ceria menyambut ahli keluarga baru.



BAGAIKAN satu ‘trend’ pula apabila stesen radio tempatan mengambil pelawak terkenal sebagai sandaran untuk memancing pendengar mengikuti frekuensi masing-masing.

Sebelum ini Sinar FM mengambil Raja Azura dan Salih Yaacob. Kemudian, Usop Wilcha disunting ke konti Hot FM, diikuti Johan Raja Lawak bagi Era FM.



REZEKI KAHWIN...Nabil antara pelawak yang semakin berjaya.

Kini sebuah lagi stesen radio popular, Suria FM, mengundang Nabil Raja Lawak dan Kenchana Devi untuk menarik lebih ramai pendengar. Sebelum ini, Suria FM juga pernah menggunakan khidmat pelakon Sharifah Shahirah yang bagaimanapun sudah mengundur diri.

Bagi Nabil dan Kenchana, peluang dilamar Suria FM, hujung tahun lalu bagaikan bulan jatuh ke riba. Memang mereka berdua sangat berbesar hati apabila diberi peluang meneroka satu lagi cabang baru dalam dunia penyiaran.


Mereka berdua menggalas tanggungjawab mengendalikan segmen Breakfast@Suria bermula semalam (9 Januari) serta bergandingan dengan penyampai handalan Halim Othman. Mampukah gandingan duo baru itu menarik lebih ramai pendengar ke Suria FM?


Menyifatkan tawaran itu sebagai rezeki selepas berumah tangga, Nabil pada sidang media di pejabat urusan Suria FM, baru-baru ini, tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira.

Nabil tidak menafikan sebelum ini, dia pernah muncul di stesen radio lain apabila penyampai radio sedia ada tidak dapat ke udara disebabkan komitmen lain. Jadi sekurang-kurangnya dia sudah ada sedikit pengalaman di dalam konti.

Pelawak yang baru menamatkan zaman bujangnya pada 30 September tahun lalu dengan Nazira Ayub berkata, dengan menerima tawaran itu, komitmennya bakal bertambah. Namun Nabil tidak menganggap ia sebagai satu beban malah peluang keemasan.

“Saya sudah memikirkan secara masak-masak dan saya sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan selepas ini termasuklah kehilangan ‘job’ lain.

“Dari segi komitmen pula, bagi saya tiada masalah besar terutamanya untuk bangun pagi kerana saya ini jenis ‘morning person’. Seperti ketika penggambaran, saya kena bangun awal juga kalau diarahkan berbuat demikian.

“Lagipun, slot saya ke udara dari jam 6 pagi hingga 10 pagi saja. Selepas tamat, masih banyak ruang masa untuk saya melakukan aktiviti lain,” kata pemenang gelaran Bintang Paling Popular bagi 2008 ini.

Nabil juga tidak merahsiakan bahawa dia sudah mampu menghela nafas lega dengan tugas barunya itu kerana sekurang-kurangnya sudah ada pendapatan tetap setiap bulan.


Mengenai gandingannya dengan Kenchana, baginya, dia yakin dengan ‘chemistry’ yang mereka ada kerana sebelum ini pun mereka sudah beberapa kali digandingkan dalam beberapa acara dan majlis.

“Kami berdua sudah diberi latihan persediaan sebelum memulakan tugas sebenar dan setakat ini, gandingan kami bertiga tidak ada sebarang masalah. Kalau ada sekalipun, Abang Halim boleh membimbing serta membetulkan kami.

“Mungkin ada juga cabarannya seperti melebihi had masa bercakap tapi saya akan memperbaikinya dari semasa ke semasa serta menyesuaikan diri,” ulasnya.

Bagi pelakon komedi yang popular menerusi sitkom Puteri di TV3, Kenchana, dia bersetuju menerima tawaran ini kerana ingin mencabar sejauh mana kebolehannya untuk melakukan sesuatu yang belum pernah dicubanya.

Walaupun mungkin pada awalnya dia akan berhadapan sedikit masalah kerana tiada asas bertugas dalam konti, faktor itu bukan tembok halangan.


Jelas Kenchana, sudah tiba masanya dia membuktikan walaupun bukan Melayu, dia boleh menarik pendengar menerusi celotehnya itu. Jelas Kenchana mengikuti jejak penyampai radio veteran keturunan India, Prema yang dulu bertugas di konti RTM pada era 1990-an.


“Menyanyi, berlakon, mengacara, semuanya saya cuba lakukan dan apabila peluang ini datang kepada saya, saya hanya mengambil masa dua hari saja untuk berfikir.

“Dengan konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan kerajaan sekarang, saya boleh katakan inilah contoh yang cuba saya terapkan.

“Seperti Nabil juga, saya tidak berdepan masalah untuk bangun seawal jam 5 pagi kerana sudah terbiasa dengan rutin itu bersama keluarga saya.

“Dari segi komitmen, Suria FM sangat fleksibel dan memberikan kami kelonggaran untuk menerima tawaran lain asalkan tidak mengganggu slot yang sudah ditetapkan,” ujarnya.

Di sebalik kegembiraannya dipilih Suria FM, dia sangat berharap akan mendapat sokongan daripada pendengar dan berjanji akan memanfaatkan kontrak setahun yang diikat bersama stesen radio berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusri Abu Samah, berkata pemilihan dua selebriti berkenaan sebagai penyampai baru di stesen itu adalah berdasarkan satu kaji selidik.

“Kami dapati, pendengar kini lebih sukakan penyampai yang boleh menimbulkan suasana ceria serta menyelitkan unsur komedi. Oleh kerana itu, kami mengambil Nabil dan Kenchana kerana mereka menepati kriteria ini.

“Saya tak nafikan, memang ‘trend’ sekarang stesen-stesen radio mengambil pendekatan yang sama tapi inilah yang dikatakan persaingan sihat,” katanya.

Selain program Breakfast@Suria, antara program baru yang diperkenalkan adalah Menu Ceria Suria (10 pagi - 1 tengah hari) yang dihoskan DJ Myra dan Zizi, Santai Pejabat Di Suria (1 tengah hari - 4 petang/ DJ Bob), Ceria Petang Di Suria (4 petang - 8 malam/ Linda Onn), Citra Muzik Di Suria
(8 - 11 malam/ DJ Tyzo) serta Suria Cinta (11 malam - 2 pagi/ DJ Lin).




7 perkara mengenai Nabil


Filem sulungnya - Sifu & Tongga pada awal 2009.
Nabil menjadikan Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki sebagai idola dan rujukannya.
Bekerja sebagai Mat Despatch dan pekerja bengkel motosikal sebelum menjadi artis.
Berasal dari Mambau, Seremban, Negeri Sembilan.
Anak ketiga daripada tujuh beradik.
Pernah mengacara rancangan hiburan, Studio Nabil dan Pondok-Pondok.
Dilahirkan pada 26 September 1983.




7 perkara mengenai Kenchana

Tabiat buruk sukar dikikis?
Picit jerawat

Kenangan pahit?
Kehilangan ibu tercinta pada 1998.

Makanan kegemaran?
Rendang ayam, sambal udang, asam pedas.

Tempat percutian kegemaran?
Semua destinasi percutian di Malaysia.

Pewangi kesukaan?
Dolce Gabbana.

Kalau anda bukan pelakon?
Jadi pakar motivasi, guru atau konsultan

Bakat lain selain berlakon?
Menulis skrip, menari tarian klasikal India, menyanyi lagu-lagu Tamil




Designed By Asal Pelik