Berjuang hapuskan keganasan wanita



DARI luar bangunan kedengaran beberapa orang wanita menjerit kemarahan. Semakin dekat menghampiri bilik berkenaan suasana riuh-rendah itu bertambah jelas apatah lagi ia disusuli bunyi tumbukan yang bertalu-talu.

Pastinya persepsi awal kita membayangkan berlakunya pergaduhan besar, namun ia adalah sebaliknya. Rupa-rupanya, di dalam sebuah pusat gimnasium kelihatan sekelompok wanita Afghanistan giat menjalani latihan bertinju.

Kemudahan yang terdapat dalam gimnasium yang terletak di Kabul itu amat menyedihkan. Cermin tingkapnya pecah, calitan cat dinding mengelupas dan tikar merah jambu dan hijau yang menghiasi lantai agak lusuh. Keadaan itu memaksa sesetengah pelatih wanita memakai topeng muka bagi mengelak debu lantai masuk ke dalam hidung dan mulut.

Selain itu, gimnasium tersebut hanya menempatkan empat beg tinju yang memerlukan pelatih bergilir-gilir menggunakannya.

Meskipun persekitaran dalaman gimnasium kurang memuaskan tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangat juang para pelatih untuk menempatkan diri di dalam gelanggang tinju. Bagi dua adik-beradik remaja Shabnam dan Sadaf Rahimi, sudah tiba masanya mereka bangkit memperjuangkan hak golongan wanita di negara itu.

Nasib wanita Afghanistan tidak sebaik wanita-wanita di negara lain. Mereka bukan saja diseksa secara mental malah turut mengalami kecederaan fizikal di rumah dan di tempat kerja. Justeru, enggan membiarkan isu keganasan terhadap wanita berlanjutan tanpa langkah penyelesaian maka sekumpulan wanita Afghanistan pertama mengambil keputusan mendalami kemahiran bertinju.

“Saya sudah lama memasang impian untuk menjadi petinju. Pada mulanya, ayah tidak bersetuju kerana berpendapat sukan ini sesuai untuk lelaki. Namun semuanya berubah dan ayah berubah fikiran selepas saya memenangi pingat pertama,” jelas Sadaf, 18, sambil tangannya tidak henti-henti menumbuk beg tinju di satu sudut.


MESKIPUN kemudahan dalam gimnasium tidak begitu sempurna, namun semangat wanita muda Afghanistan ini tidak pernah padam.


Pada kejohanan tinju antarabangsa di Tajikistan tahun 2011, Sadaf membawa pulang pingat gangsa, manakala kakaknya memenangi pingat emas.

Di luar bangunan, beberapa remaja lelaki mengintai di celah-celah tingkap untuk meninjau sesi latihan tinju yang dipraktikkan oleh pelatih wanita di gimnasium. Sesetengah remaja lelaki mencuri-curi melihat dengan mata terbeliak apabila melihat petinju wanita begitu bersungguh-sungguh melakukan tumbukan dan latih tubi.

Secara amnya, tinju ialah sejenis sukan yang melibatkan dua peserta yang berlawan sesama sendiri dalam tempoh satu hingga tiga minit yang dikenali sebagai pusingan.

Sukan itu dianggap baharu dan luar biasa dalam kalangan wanita di kebanyakan negara. Apatah lagi di Afghanistan rata-rata golongan wanita dan kanak-kanak perempuan masih berjuang mendapatkan hak dan peluang bekerja serta belajar. Malah, kumpulan aktivis juga bertegas pada isu-isu penderaan dan keganasan rumah tangga di negara berkenaan.

Konservatif

Kumpulan petinju wanita di Kabul biasanya menjalani latihan tiga kali seminggu di Stadium Ghazi. Stadium itu sebelum ini digunakan oleh pihak Taliban yang memerintah Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001 untuk menjalankan hukuman secara terbuka.

Pada tempoh berkenaan wanita yang melakukan zina akan direjam. Walaupun stadium itu sudah dibaiki dan dibaik pulih tetapi segelintir atlet masih terasa seram dengan suasana di situ.

“Keluarga saya melarikan diri ke Iran ketika pemerintahan rejim Taliban tetapi apa yang menggerunkan, saya mendengar ramai wanita dibunuh sehingga kadangkala saya panik dan takut apabila berlatih sendirian,” luah Sadaf.

Bagaimanapun bukan semua masyarakat di Afghanistan menyokong wanita yang menyertai sukan bertinju. Segelintir penduduk yang berfikiran konservatif menyifatkan aktiviti berkenaan bercanggah dengan tatasusila wanita dan tabu.

Di bawah pemerintahan Taliban, semua jenis sukan untuk wanita diharamkan dan sehingga kini penglibatan wanita dalam bidang sukan jauh ketinggalan berbanding lelaki.

Paling mengecewakan, petinju remaja wanita menerima ancaman jika mereka terus dengan aktiviti tersebut.


PASUKAN petinju wanita itu ditubuhkan untuk menggalakkan remaja perempuan Afghanistan berusaha mencapai impian mereka.


“Dua tahun lalu, seseorang menghubungi bapa dan mengugut menculik kami jika bapa terus membenarkan kami berlatih sukan ini,” kata Shabnam, 19.

Ekoran daripada ancaman tersebut, kedua-duanya berehat selama sebulan daripada latihan tinju sehingga jurulatih gimnasium menawarkan khidmat pengangkutan. Namun, peluang mereka untuk berlatih masih terhad meskipun pihak kerajaan memberikan jaminan kawalan keselamatan.

Bantuan kewangan

Sebenarnya pasukan petinju wanita itu ditubuhkan pada tahun 2007 oleh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Afghanistan untuk mengubah tanggapan masyarakat dan menggalakkan remaja perempuan berusaha mencapai impian mereka.

“Kami ingin tunjukkan kepada dunia wanita Afghanistan juga boleh menjadi ketua dan melakukan apa saja termasuk bertinju,” kata jurulatih Mohammad Saber Sharifi.

Pasukan itu turut mendapat sokongan kewangan daripada jawatankuasa Olimpik dan badan bukan kerajaan, Kerjasama Keamanan dan Kesatuan, tetapi jumlah kewangan masih sedikit.

Mohammad yang juga merupakan bekas juara tinju profesional berharap mendapat lebih banyak bantuan kewangan untuk membina gelanggang tinju, menaik taraf kemudahan di gimnasium dan menghantar pelatih ke kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan kemahiran dan pendedahan.

Namun, harapan paling besar buat mereka adalah untuk menghantar pasukan petinju wanita Afghanistan bertanding dalam Sukan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung di London untuk merebut pingat emas. Namun, sebelum berjuang di peringkat utama para pelatih perlu melepasi sesi kelayakan di China pada bulan Mei depan.

Setakat ini belum ada seorang pun wanita Afghanistan yang memenangi pingat dalam Sukan Olimpik tetapi ahli taekwondo, Rohullah Nikpai berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan dianggap hero negara.

Shabnam dan adiknya juga menanam impian mahu bertanding dalam gelanggang tinju pada sukan itu.

“Saya mahu menjadi petinju wanita terbaik supaya dapat mengharumkan nama negara. Impian saya adalah untuk mengibarkan bendera Afghanistan dalam sukan Olimpik,” kata Shabnam.

Selain Shabnam, wanita Afghanistan yang lain turut mendoakan agar tanah air mereka mengecapi kedamaian dan bebas daripada sebarang konflik.


PETINJU ini kehausan setelah membuat latihan bertinju.


Hampir 24 tahun hidup dalam kancah peperangan, Afghanistan belum menunjukkan tanda-tanda negara itu akan pulih.

Bahkan gara-gara perbuatan pejuang Taliban, setiap hari berita menyiarkan kematian kaum lelaki yang rata-ratanya terdiri daripada petani. Kesan daripada kematian itu, golongan wanita mula resah kerana kehilangan tempat bergantung.

Layanan buruk

Berdasarkan kajian Yayasan Thomson Reuters pada tahun 2011, keganasan, kemiskinan dan masalah kesihatan yang teruk menyebabkan Afghanistan muncul sebagai negara yang paling berbahaya kepada wanita di dunia. Mereka ditindas tanpa belas kasihan terutamanya ibu tunggal.

Malah, segelintir isteri menerima melayan buruk daripada si suami.

Selain itu, nasib wanita dan kanak-kanak perempuan di negara itu jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan negara miskin lain. Hak asasi manusia mereka dicabul kerana hidup di bawah pemerintahan Taliban.

Di bawah rejim tersebut, wanita dilarang bekerja, manakala kanak-kanak perempuan dinafikan hak untuk kesekolah.


SUMBER : KOSMO



Designed By Asal Pelik