Cerai, Hattan tak mahu berlakon



HATTAN begitu realistik dengan jalan kehidupannya. Dia tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit.


PENYANYI Hattan dan isterinya, Farah Asyikin bercerai! Kali ini, ia adalah berita sahih. Bukan gosip kononnya dia bercerai talak tiga hanya selepas tiga minggu berkahwin yang pernah membuat dia menempelak media kerana mengucar-kacirkan keharmonian rumah tangga yang baru dibina.
Berbicara menerusi telefon bersama Hattan yang bercerai secara rasmi dengan Farah pada 12 Januari selepas genap dua bulan berkahwin di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli di Mahkamah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, penyanyi berusia 48 tahun itu memberitahu penceraian tersebut adalah persetujuan mereka bersama selepas berbincang secara matang. Dia juga mengaku menunaikan solat Ishtikarah sebanyak tiga kali sebelum menjatuhkan talak terhadap Farah.

Kosmo!: Apa cerita Hattan, gosip yang mengatakan anda bercerai beberapa bulan lalu kini akhirnya menjadi kenyataan. Boleh komen sedikit?

HATTAN: Ini soal jodoh. Memang benar kami sudah bercerai. Hal ini saya akui kerana ia benar-benar terjadi. Hal yang dahulu (gosip) memang buat saya marah sebab perkara itu (cerai) tidak terjadi. Menuduh kami bercerai talak tiga pula itu. Itu adalah satu fitnah besar, sebab itu saya marah. Yang ini (penceraian), baru terjadi semalam selepas saya dan Farah sebulat suara mengambil keputusan untuk berpisah. Kami juga tidak mahu mengatakan perkahwinan kami ini satu kesilapan kerana sebagai orang dewasa dan matang, kami sedar dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang kami lakukan.

Sebelum ini anda ada kata akan berusaha untuk menjalani kehidupan berumah tangga buat kali kedua dengan sebaik mungkin?
Betul, Saya pernah cakap saya tak kahwin main-main dan mahu kekal ke syurga. Saya juga pernah kata saya bukan lelaki zalim nak cerai sampai talak tiga. Saya bercerai dengan talak satu.

Saya tahu penceraian adalah hal halal yang dikutuk Rasulullah, namun sebagai individu yang sudah pernah mempunyai pengalaman berkahwin sebelum ini, kami sepakat untuk berpisah kerana kami sedar perbezaan yang wujud antara kami agak sukar untuk disetarakan. Bukan kami tak berusaha, tapi ia memang sukar. Akhirnya kami memilih berpisah. Paling penting kami tak mahu pura-pura bahagia dan meneruskan perkahwinan kami hanya sebab takut dan malu dengan pandangan masyarakat. Kehidupan kami, kami yang lalu dan kami yang tanggung, jadi kami bertanggungjawab untuk kembali menjalani kehidupan solo.

Apa masalah antara anda dan Farah sebenarnya sampai perlu bercerai?
Masalah antara kami, biar kami simpan sahaja sebab kami sudah berjanji di mahkamah untuk tidak mengaibkan atau menuduh siapa yang benar dan siapa yang salah dalam pelayaran rumah tangga kami. Saya pun harap bila sudah sahih saya bercerai, tak perlulah semua orang nak korek cerita kenapa kami bercerai. Nak cari salah saya atau salah Farah. Apa yang penting saya bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang telah saya ambil.

Jadi sekarang bagaimana dengan hubungan anda berdua?
Hubungan kami masih baik. Kami bukan bergaduh yang menjadi punca penceraian. Kami menyelesaikan masalah ini secara matang dan rasional untuk masa hadapan masing-masing.

Takut dengan soal jodoh lagi?
Saya tak fikir pun. Dahulu sebelum bernikah semula, saya fikir ini jodoh dan kami pun bernikah serta mencuba yang terbaik untuk satu sama lain. Bila berpisah, saya pun tak rancang nak berpisah dan hidup duda semula. Tapi saya terima dengan reda.

Kosmo


Designed By Asal Pelik