Curi Besi RM40 Dipenjara Setahun

Curi Besi RM40 Dipenjara Setahun

MELAKA – Seorang buruh kasar dijatuhi  hukuman penjara setahun oleh Mahkamah  Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri besi bernilai RM40 pada bulan lalu.
Majistret Ida Rahayu Sharif menjatuhkan hukuman  itu terhadap Maseeri Abu, 32 selepas tertuduh  mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan  ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Maseeri didapati dengan  niat curang mencuri besi dan bekas mesin yang  bernilai RM40 kepunyaan Kilang Biskut Lim Chia Heng di dalam kawasan kilang itu yang digunakan  sebagai tempat untuk menyimpan harta di Jalan  Pulau Gadong pada pukul 3.30 petang pada 29 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, kes disiasat dibawah Seksyen  380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama  Seksyen 34 kanun yang sama yang  memperuntukan hukuman penjara boleh sampai  sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan  denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili seorang pelatih  guaman dari Pusat Bantuan Guaman negeri,  memohon agar mahkamah meringankan  hukuman.
”Dengan pendapatan RM300 sebulan sebagai  pekerja buruh tertuduh mempunyai lapan orang tanggungan yang terdiri  daripada ahli keluarganya termasuk tertuduh perlu menjaga  seorang kakaknya yang terlantar sakit,” kata pelatih guaman tersebut.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Cif Inspektor  Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes  memohon mahkamah menjatuhkan hukuman  setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan  masyarakat lain agar tidak melakukan jenayah  yang sama.

Ujar Muhamad Juhari, tertuduh bukan kali  pertama melakukan jenayah kerana sebelum ini tertuduh mempunyai dua  rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 411 yang telah disabitkan  kesalahannya pada tahun 2004.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah  pihak Ida Rahayu kemudian mengambil keputusan  menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap  tertuduh mulai tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh  telah menyelinap masuk ke dalam kawasan kilang biskut terbabit  dan terus mencuri besi dan bekas mesin.

Seorang pengawal keselamatan yang membuat  rondaan telah ternampak tertuduh sedang mencuri lalu  menangkap tertuduh.


Designed By Asal Pelik