GAPS, pembeli buat laporan

GAPS, pembeli buat laporan



PUTRAJAYA - Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan pembeli rumah kos rendah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana mendakwa mereka ditipu seorang lelaki mengaku sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor.

Seramai 650 pembeli rumah kos rendah di empat kawasan sekitar Lembah Klang iaitu di Taman Harmoni, Balakong, Taman Selayang Mulia, Taman Botanic, Klang dan Taman Cheras Intan didakwa ditipu sehingga meng alami kerugian.

Pembeli, Azlan Lam, 37, berkata, pada 2009, seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai pegawai Khas Menteri Besar Selangor dan mengguna kan nama parti politik menawarkan borang perumahan secara percuma kepadanya untuk diisi.

Menurutnya, setahun selepas itu, lelaki tersebut membuat tawaran membeli rumah kepada beberapa orang pembeli tetapi perlu membayar lima peratus dari harga rumah yang ditawarkan iaitu RM42,000.

“Semua pembeli ini sudah membayar RM2100 kepada lelaki terbabit, tetapi sehingga kini, kita tidak mendapat tempat di rumah yang dinyatakan.

“Kita sudah membuat lebih kurang 45 laporan polis berhubung masalah ini dan ada menghubungi lelaki tersebut tetapi tidak mendapat sebarang jawapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat SPRM di sini, semalam.

Azlan bekerja sebagai juruteknik berkata, lelaki berkenaan meyakinkan pembeli dengan menunjukkan kawasan dalam rumah tiga bilik itu se belum pembeli membayar wang ansuran kepadanya.

Azam Sakimun, 40, pula kesal dengan tindakan lelaki tersebut.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah menghantar memorandum kepada pejabat Kerajaan Negeri Selangor, tetapi masih belum ada tindakan bagi mengenal pasti lelaki yang dipercayai pegawai khas menteri itu.

“Laporan polis sudah di buat dan hari ini (semalam) kita buat laporan kepada SPRM untuk menyiasat kerana dipercayai ada penyelewengan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, pihaknya menggesa SPRM menyiasat perkara ini kerana ia menganiayai pembeli.

Menurutnya, individu berkenaan, diharap dapat tampil dan menyerahkan kembali wang pendahuluan kepada pembeli serta menghentikan tindakan memberi janji palsu kerana tindakan undang-undang boleh diambil.


Designed By Asal Pelik