Gempa bumi 7.3 skala Richter

Gempa bumi 7.3 skala Richter gegar Acheh



JAKARTA - Satu gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter berlaku di pantai barat Utara Sumatera, Indonesia, pagi semalam, namun tiada sebarang laporan mengenai kerosakan dan kehilangan jiwa dilaporkan.

Gempa bumi berlaku kira-kira jam 1.40 pagi di lautan yang berpusat di 419 kilometer (km) barat daya Meulaboh, Aceh, dengan kedalaman 10 km, yang diikuti beberapa kejadian gempa susulan yang turut dirasai sehingga ke Medan, Indonesia.

Menurut Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, gegaran mulanya dicatatkan sebanyak 7.6 skala Richter, namun menurun kepad 7.1 skala Richter.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PATP) menarik balik ancaman tsunami, namun menambah kemungkinan timbul tsunami kecil yang mampu menjejaskan pantai-pantai yang berkedudukan tidak lebih dari 100 km pusat gempa bumi.

Difahamkan, gegaran yang berlaku di Banda Aceh mengambil masa kira-kira 30 saat menyebabkan penduduk yang merasainya bergegas keluar dari kediaman mereka, tetapi kembali semula selepas gegaran tamat.

Gegaran turut dirasai negara jiran, Malaysia, di beberapa buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak yang turut dikeluarkan amaran tsunami, namun ditarik balik Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar Malaysia yang turut merasai gegaran­ gempa bumi di Banda Aceh tidak terjejas dan dilaporkan selamat, menurut pegawai di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun.

Seramai 206 pelajar Malaysia sedang menuntut di institut penga­jian tinggi di Aceh dan 1,620 orang di Medan.


Designed By Asal Pelik