Genting bina projek mega RM13b di AS


GENTING dipelawa bangunkan projek mega bersebelahan litar lumba Aqueduct, New York.
GENTING dipelawa bangunkan projek mega bersebelahan litar lumba Aqueduct, New York.
 
Bangunkan pusat konvensyen terbesar di New York

GENTING Malaysia Bhd terus mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan, riadah dan hospitaliti antarabangsa apabila dipelawa membangunkan projek mega bernilai kira-kira AS$4 bilion (RM13 bilion) di New York, Amerika Syarikat (AS).
Terletak bersebelahan litar lumba Aqueduct, projek itu membabitkan cadangan pembinaan sebuah pusat konvensyen dan ruang pameran bersepadu berkeluasan 3.8 juta kaki persegi, selain membesarkan ruang hiburan sedia ada di Resorts World Casino New York.
Pusat konvensyen yang turut membabitkan hotel 3,000 bilik itu, apabila siap akan menjadi pusat konvensyen terbesar di AS, menggantikan Jacob K Javits Convention Centre di Manhattan, yang dikritik sebagai terlalu kecil serta kurang sesuai untuk menjadi destinasi tumpuan dunia.

Genting semalam mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Genting New York LLC Selasa lalu telah memeterai surat hasrat tanpa sebarang ikatan dengan New York State Urban Development Corporation (New York SUDC) bagi menimbangkan pembangunan projek itu.

Surat hasrat itu adalah komitmen awal kedua-dua pihak bagi pembangunan projek berkenaan sebelum memeterai perjanjian persefahaman rasmi.

Genting dalam kenyataan itu berkata, ia akan mengadakan rundingan terperinci dengan New York SUDC bagi melengkapkan terma cadangan pembangunan pusat konvensyen berkenaan.
“Genting NY akan memberikan kerjasama penuh dengan New York SUDC dan pihak yang berkaitan lain berhubung terma (pembangunan projek itu).

“Kumpulan menjangka dapat memeterai perjanjian persefahaman rasmi bagi cadangan pembinaannya pada atau sebelum 30 November ini,” katanya.

Sementara itu, Gabenor New York, Andrew Cuomo dilaporkan sebagai berkata, pihaknya menyokong cadangan Genting membina pusat konvensyen itu kerana ia mampu membantu negeri itu mengembangkan aktiviti hiburan selain menyediakan peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan lagi pendapatannya menerusi cukai.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg yang turut memberikan sokongannya menyifatkan pembinaan pusat konvensyen itu penting bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke negeri itu.

Difahamkan, Genting dapat meraih peluang mengembangkan operasinya di AS berikutan banyak negerinya kini sedang menimbang menjadikan aktiviti hiburan dan kasino sebagai langkah untuk menjana pendapatan sekali gus mengecilkan defisit bajetnya, selain mengurangkan kadar pengangguran di negara itu.

Pesaingnya di AS pula kini tidak lagi mampu bersaing dengan Genting berikutan terpaksa menanggung beban hutang.


Designed By Asal Pelik