Gigil lihat mayat



PONTIAN: “Pada mulanya saya melontar kayu ke arah sekumpulan anjing yang mengerumuni objek di tepi belukar, namun hampir pitam apabila mendapati objek itu adalah mayat lelaki yang sudah busuk,” kata warga Indonesia, Mohd Ikrom Selamat, 30, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam di Kampung Sungai Burung, Ikrom dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya yang terletak berhampiran sebelum terserempak dengan kumpulan anjing itu.


Perasaan ingin tahu menyebabkan Ikrom melontar kayu ke arah haiwan terbabit sebelum menghampiri objek itu.

“Badan saya menggigil kerana terkejut dengan penemuan mayat tidak berkasut itu. Saya terus memaklum penduduk kampung,” katanya.


Penduduk, Razif Margono, 40, berkata, sejurus dimaklumkan oleh Ikrom, dia terus ke sana sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan Nanas.


“Ini kejadian pertama membabitkan penemuan mayat di kampung kami dan berharap penjenayah segera ditahan, sekali gus menyelesaikan kes itu,” katanya.

Sumber polis di lokasi kejadian memaklumkan, mayat lelaki terbabit berusia lingkungan 40-an dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak di kampung berkenaan.


“Mangsa berkulit cerah dan kasutnya yang berwarna gelap ditemui tidak jauh dari lokasi mayat dijumpai.

“Pada masa sama, identiti mangsa juga belum dapat dikenal pasti kerana kami tidak menemui dokumen pengenalan dirinya bersamanya.


“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan terlentang, memakai baju T belang serta berseluar jeans biru. Dia dipercayai mati lebih 24 jam lalu,” katanya.


Menurut sumber, pihaknya akan berusaha mengesan identiti mangsa melalui data orang hilang dan meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau kenalan supaya membuat pengecaman di Hospital Pontian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


“Siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap berkaitan penemuan mayat terbabit,” katanya yang enggan mengulas lanjut.


Designed By Asal Pelik