Hafiz Tak Mahu Berlakon Macam Tahun Lalu

Hafiz Tak Mahu Berlakon Macam Tahun Lalu


Bintang Akademi Fantasia ini cukup bertuah kerana ini kali ketiga berturut-turut dia berjaya melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Tahun ini, Hafiz menyanyikan lagu ‘Awan Nano’, ciptaan Datuk M. Nasir dan liriknya ditulis oleh Budi Hekayat.
Bercerita tentang konsep persembahannya pada malam kemuncak AJL 26 nanti, Hafiz memberitahu tahun ini dia tidak mahu berlakon seperti tahun dahulu. Jelas penyanyi ini, kalau boleh dia mahu penonton melihat dia sahaja berada di atas pentas.

“Setakat ini konsep persembahan masih belum muktamad. Saya dan pihak pengurusan (Astro Entertainment Sdn. Bhd), masih lagi berbincang. Kalau boleh saya tak mahu tampilkan persembahan lakonan macam tahun lalu. Saya mahu persembahan berbeza. Bagaimanapun, terpulang pada budi-bicara pengurusan saya. Saya percaya, mereka pasti punya perancangan terbaik untuk saya. Sama-sama kita nantikan persembahan saya pada 29 Januari nanti. Kalau cerita semua di sini, tidak seronok pula sebab tiada kejutan,” ujar Hafiz.
Ditanya sama ada dia berasa terbeban untuk menyanyikan lagu daripada tokoh muzik negara, Datuk M. Nasir, Hafiz menafikan perkara itu. Jelas Hafiz, dia berasa berbangga dan bertuah kerana ‘Sifu’ mahu menghasilkan lagu untuknya.

“Saya tidak anggap tanggungjawab ini sebagai satu beban, sebaliknya menganggapnya sebagai satu cabaran yang harus disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Lagu ini amat bermakna kepada saya. Selain melodinya yang mengusik jiwa, saya juga sangat suka dengan bait-bait liriknya. Ia mengingatkan saya supaya tidak mudah lupa diri dan sentiasa mengingatiNya. Sebab itu, saya mahu buat yang terbaik untuk lagu ini. Saya tidak mahu hampakan pengubah, penulis lirik dan juga peminat-peminat yang menyokong saya selama ini, “ ujar Hafiz.

Dalam masa yang sama, penyanyi berasal dari Sarawak ini mengakui kalau boleh dia mahu mempertahankan Anugerah Vokal Terbaik yang diperolehinya pada tahun lalu. Namun, dia tidak terlalu berharap kerana menyedari saingan tahun ini hebat-hebat belaka.

“Kalau pihak juri masih mahu memberikan anugerah itu kepada saya, sudah tentu saya berasa sangat gembira. Sebagai penyanyi, saya akan cuba buat yang terbaik. Saya harap peminat akan terus memberi sokongan kepada saya pada malam kemuncak nanti. Menang atau kalah, itu perkara kedua,” ujar Hafiz.


Designed By Asal Pelik