Hajat Lin Dan musnah

Lin Dan



HASRAT Lin Dan untuk memalukan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei di laman sendiri pada Terbuka Malaysia, terbantut selepas tewas kepada pemain tidak ternama Denmark pada pusingan kedua, semalam.

Tumpas mengejut di tangan Jan O Jorgensen, Lin Dan bagaikan hilang tum­puan pada set kedua seterusnya terbawa-bawa ke set ketiga, meskipun beraksi baik di set pertama sebelum tewas dalam tempoh 58 minit, 14-21, 21-15, 21-15.

Lin Dan bagaimanapun enggan ditemuramah media bertugas, sebaliknya terus berlalu ke bilik persalinan, tetapi sempat menyapa seterunya Chong Wei selepas sidang media pemain nombor satu dunia itu, semalam.

Chong Wei terkejut apabila dikhabarkan Lin Dan tewas pada sidang medianya selepas perlawanan berakhir.

 “Mungkin tahun ini bukan tuah Lin Dan. Sama seperti tahun lalu, saya juga kurang bernasib baik, sebaliknya Lin Dan menunjukkan peningkatan sepanjang 2011.

 “Dia manusia, saya juga manusia, masing-masing punya kelemahan dan kelebihan,”katanya, semalam.

 Di pusingan kedua, turun selaku pili­han utama, Chong Wei mudah mengatasi pemain Jepun, Kazushi Yamada di set pertama untuk menang 21-8.

 Namun, dikejutkan di set kedua, apabila ketinggalan jauh 4-12 sebelum kembali bangkit merapatkan kedudukan untuk terikat 15-15, seterusnya menang 21-18.

Suku akhir hari ini, Chong Wei akan bertemu sahabat baiknya Taufik Hidayat dari Indonesia dan beliau berharap tidak melakukan kesilapan serta hilang fokus seperti perlawanan set kedua semalam.

Sementara itu, pemain wanita negara, Tee Jing Yi tewas mudah ke atas pemain Jerman, Juliane Schenk dalam masa 34 minit dengan catatan 18-21, 6-21.


Designed By Asal Pelik