Harapan baru untuk Liga M

 

Gol menakjubkan penjaga gol Everton, Tim Howard pertengahan minggu ini ketika menentang Bolton Wanderes mengimbaskan kembali detik ketika saya meraikan gol Syamsuri Mustaffa. Dia berjaya melakukannya dalam separuh akhir Sukan SEA 2003 ketika bertemu Vietnam sehingga melonjakkan namanya di seluruh pelusuk negara.

Pernah dipalit kontroversi ekoran masalah disiplin yang dikatakan telah menjejaskan tumpuannya di padang sedikit mencalarkan kredibilitnya selaku penjaga gol utama negara sejak diberi amanah itu pada 2004.

Namun pada usia mencecah 31 tahun, Syamsuri kini memperkuatkan pasukan T-Team dalam Liga Super merupakan pemain matang dan menjadi aset pasukannya.

Dua tahun kebelakangan ini, Malaysia berjaya melahirkan beberapa penjaga gol berwibawa dan Khairul Fahmi Che Mat merupakan pemain yang paling mencuri tumpuan.

Bukannya mahu menunding jari kepada sesiapa, cuma apa yang pernah berlaku tidak salah dijadikan panduan kerana pengalaman mendewasakan kita.

Tidak rugi kita mengambil iktibar dalam apa yang pernah terjadi.

Walaupun dilihat masih kalis dengan populariti mendadak yang diterimanya selain terpalit dengan beberapa kontroversi yang melandanya lewat kebelakangan ini, ada baiknya Apek mempertimbangkan nasihat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat agar mengakhiri zaman bujangnya secepat mungkin.

  Malah ekoran tidak tahan dengan tekanan 'di luar' padang, Apek pernah terlintas untuk hanya menumpukan perhatian di peringkat kelab sahaja.

Itulah yang perlu dilaluinya selaku pemain profesional kerana senario pada hari ini, peminat mahu mengetahui luar dalam mengenai pemain. Saya percaya para pemain juga rimas juga dengan perhatian berlebihan yang diberikan, tapi pemain harus sedar mereka adalah ikon negara serta membawa maruah negara.

Beralih kepada Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung pada hari esok kerana musim ini sudah pasti lebih rancak dan sengit daripada sebelum ini. Musim sulung dengan kehadiran pemain bakal menjadi penanda aras kepada para pemain tempatan kita.

Ini kerana sejak pembekuan pemain import dua musim lalu, para pemain generasi muda khususnya telah memberi impak yang besar terhadap bola sepak tempatan dengan beberapa gelaran yang berjaya diraih dirantau ini.

Namun sayangnya kehadiran peminat ke stadium bagi perlawanan Liga Malaysia masih lagi rendah.

Sebelum ini ramai yang berpendapat kehadiran pemain import adalah penyelesaian terbaik untuk mengumpan peminat ke stadium. Tetapi dengan lebih banyak liputan di kaca televisyen, sukar untuk saya bersetuju kerana mengambil kira beberapa faktor dalam artikel saya minggu lalu.

Saya percaya FAM tidak akan berdiam diri tetapi saya masih mengharapkan perubahan yang lebih daripada FAM untuk mempertingkatkan bukan sahaja mutu bola sepak tempatan.

Malah FAM perlu lebih inovatif dalam usaha menyuntik kemeriahan semasa dan bukannya bersifat bermusim hanya apabila sesebuah pasukan itu mula berada di puncak atau melangkah jauh ke pusingan kalah mati.

Akhirnya kata musim baru, semangat juga harus baru...


Designed By Asal Pelik