Hasan Ali masih exco, tapi tak hadir mesyuarat



Ahli exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Hasan Ali, yang dipecat daripada PAS Ahad lalu sedang bercuti, kata rakan sejawatannya, Ronnie Liu.

NONEBercakap dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat exco hari ini, Liu (kiri) juga berkata isu penggantian Hasan "belum lagi" dibincangkan.
"Beliau sedang bercuti," katanya ringkas.
Beliau juga enggan mengulas panjang sebaliknya meminta pemberita bertanya perkara itu kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

"Tunggu MB (beri penjelasan)," katanya.

Khalid tidak hadir dalam sidang media hari ini kerana mempunyai program di tempat lain.

Selain Liu, exco lain yang hadir ialah Iskandar Samad dan Halimah Ali daripada PAS dan Yaacob Sapari daripada PKR.

iskandar abdul samadSementara itu, Iskandar (kanan) pula berkata pihaknya kini masih menunggu arahan daripada presiden parti untuk memutuskan ADUN yang patut menggantikan Hasan.

"Kena tunggu presiden. Kita tak boleh mendahului presiden. Apa-apa pun kita kena tunggu," katanya ketika ditanya tentang proses penggantian itu.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Hasan setakat ini belum berhasil.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid dijadual mengadap Sultan Selangor Jumaat ini bagi membincangkan isu panas itu.

Sumber : Malaysiakini.com


Designed By Asal Pelik