Ibu, anak dituduh main loteri haram

Ibu, anak dituduh main loteri haram



AYER KEROH - Dua beranak bersama dua saudara wanita mereka dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana menjalankan aktiviti loteri awam secara haram, empat tahun lalu.

Liu Kin Pau, 53; anaknya, Liu Yen Sap, 20; Shan Ai He Ong, 47, dan Liu Shu Yong, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati menjalankan satu loteri awam haram di sebuah kediaman di Jalan Gaung Piring, Malim, kira-kira jam 5.45 petang pada 30 Mac 2008.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan RM5,000 kepada setiap tertuduh selepas peguam bela membuat rayuan.

Majistret Syajaratudur Abdul Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.


Designed By Asal Pelik