Karaoke haram di Serambi Mekah


ANTARA pengunjung yang ditahan dalam serbuan sebuah karaoke haram di Bachok kelmarin.



BACHOK - Tidak kenal erti serik.Biarpun pernah diserbu sebelum ini, sebuah pusat karaoke haram yang berselindung di sebalik nama sebuah resort di Kampung Kubang Golok, di sini masih meneruskan operasinya.

Terbaru, sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dibantu anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok membuat serbuan ke atas pusat karaoke terbabit malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, pada serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya menahan seramai 29 pengunjung pusat karaoke itu termasuk dua pekerjanya.
Katanya, pihaknya melakukan serbuan di lokasi sama lebih setahun lalu dan difahamkan selepas serbuan pertama, pusat karaoke tersebut menghentikan sementara operasinya.

Bagaimanapun, jelasnya, baru-baru ini pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengatakan pusat karaoke itu beroperasi semula, tetapi selepas pemiliknya mengetahui mengenai aduan tersebut, dia bertindak menutupnya.

"Risikan yang dibuat polis beberapa hari lalu mengesahkan ia beroperasi semula, sebab itulah kita melakukan serbuan ini," ujarnya.


Designed By Asal Pelik