Maut melayang


KEADAAN kereta MPV Honda Stream yang remuk mengorbankan tujuh nyawa selepas bertembung dengan sebuah treler membawa tong gas di Batu 6 Lekir, Sitiawan, malam kelmarin.
Tujuh terbunuh selepas kereta dinaiki 10 rakan rempuh treler sebelum sambut tahun baru

SITIAWAN: Perjalanan pulang 10 rakan sekampung selepas membeli barang keperluan untuk menyambut tahun baru berakhir dengan tragedi apabila tujuh daripadanya, termasuk empat pelajar maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung treler dan sebuah kereta lain di Batu 6 Lekir, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian di ambang Tahun Baru 2012, kira-kira jam 10.30 malam itu turut mengakibatkan pemandu treler cedera parah, manakala tiga lagi penumpang dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang itu serta pemandu sebuah lagi kereta jenis Honda Civic, cedera.
Enam mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada dua beradik, Badrul Isa Sulaiman, 19; dan Mohamad Hadi, 17; sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15 serta Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15 dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.
Pemandu Honda Stream, Mohd HisamMat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 8.35 pagi semalam. Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang dilaporkan parah di muka dan tangan serta masih dirawat di HSM.

Penumpang yang duduk bersebelahan Mohd Hisam di bahagian depan, Khairul Faiz Mohd Noor, 17, serta dua lagi penumpang remaja perempuan yang tidak diketahui identiti mereka serta pemandu kereta Honda Civic dilaporkan cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Mohamad Kamil, Ahmad Faizal, Mohamad Shadan dan Muhammad Shafik Redzuan adalah pelajar Sekolah MenengahKebangsaan Batu 10 Lekir; Mohd Hisam dan Badrul Isa pula bekerja di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan, manakala Mohamad Hadi sepatutnya melaporkan diri mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pagi semalam.

Semua yang terbunuh berasal dari Kampung Batu 15 Lekir kecuali Muhammad Shafik Redzuan dari Kampung Batu 14 Lekir dan Mohd Hisam yang berasal dari Kampung Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.
Kemalangan berlaku apabila Honda Stream dari arah Sitiawan memotong beberapa kenderaan dari sebelah kiri sebelum masuk semula ke laluan di depan Honda Civic secara mengejut sehingga hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

Pertembungan mengakibatkan bumbung Honda Stream tercabut dan melayang kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, manakala kenderaan itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga beberapa penumpangnya terpelanting keluar, termasuk seorang yang terjatuh di atas kereta Honda Civic.

Treler pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh beberapa gerai buah-buahan di tepi jalan sebelum terperosok ke dalam kebun kelapa sawit.

Keadaan di tempat kemalangan amat mengerikan apabila mayat bergelimpangan di tengah jalan dan ada yang tercampak sehingga ke laluan ladang sawit dengan satu mayat ditemui tanpa kepala dengan otak bersepai, mata tersembul dan isu perut terburai dengan cebisan daging dan otak bertaburan sehingga jarak 50 meter dari tempat kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengutip cebisan daging dan otak serta mencari kepala salah seorang mangsa yang kemudian ditemui tidak jauh dari situ.

Difahamkan, ketika kejadian, penumpang Honda Stream dalam perjalanan balik ke Kampung Batu 15 selepas selesai membeli barang keperluan dan bersiar sekitar Teluk Batik, manakala treler pula dalam perjalanan menghantar tong gas dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Superintendan Ismail Munajat, berkata semua mayat dibawa ke HSM untuk bedah siasat pagi semalam dengan enam daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 15 sebelum Asar, manakala jenazah Mohd Hisam dibawa ke Jeli untuk dikebumikan di sana.

“Kejadian berlaku di jalan lurus berturap dan kering, manakala keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my


Designed By Asal Pelik