Kekanda Sultan mangkat

kekanda sultan pahang mangkat



PEKAN - Kekanda kepada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Seri Nila Utama Pahang, Tengku Ainon Jamil Al-Marhum Sultan Abu Bakar mangkat akibat sakit tua, semalam.

Menurut kenyataan Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, Datuk Sabaruddin Sulaiman, Tengku Ainon Jamil, 84, yang juga anakanda sulung Al-Marhum Sultan Abu Bakar mangkat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada jam 5.30 pagi, semalam.

Almarhumah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut sejak seminggu lalu.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke kediamannya di sini dan istiadat bersiram diadakan sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan dan mula diziarahi pemimpin dan rakyat yang mahu memberi penghormatan terakhir bermula jam 11 pagi.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman mengimamkan solat jenazah yang diadakan pada pukul 1.20 petang sebelum penyempurnaan istiadat pemakaman yang diadakan di Makam Diraja Pekan selepas waktu Zohor, semalam.

Berangkat pada istiadat pemakaman tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Yang Dipertua Melaka yang juga bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob.


Designed By Asal Pelik