Rasanya sudah hampir 10 tahun Mummy meninggalkan dunia bola sepak. Bukanlah kaki bola tetapi suatu ketika dulu, Mummy memang suka dengan sukan ini. Bukan suka menendang bola tetapi lebih gemar menonton setiap kali ada perlawanan di TV.

Mungkin ketika itu Mummy dipengaruhi oleh kawan-kawan lelaki di pejabat agaknya. Bermula dengan menyokong 'team' Karangkraf sampailah sanggup ke stadium menonton perlawanan yang besar dan hebat. Hinggakan Mummy mampu menghafal nama pemain-pemain bola sepak negara.

Siapa lagi kalau bukan Rashid Hassan, Fandi Ahmad, Malik Awab, Zainal Abidin, Subadrom Aziz dan sudah pastinya Allahyarham Mokhtar Dahari yang menjadi idola Mummy. Bagi Mummy, mereka sangat hebat ketika beraksi di padang. Selepas itu muncul pula bakat-bakat baru seperti Azlisyam, Khalid Jamlus, Shukor Adan dan beberapa nama lagi.

Pernah juga Mummy menggandingkan artis popular dengan bintang bola sepak ketika di awal penerbitan Media Hiburan dulu. Mummy pernah menggandingkan Fandi Ahmad dengan Ella dan Malik Awap bersama Fauziah Latif. Selain itu, terdapat juga satu kisah sedih di mana Mummy pernah difitnah oleh salah seorang pemain bola sepak kerana seutas rantai. Terima kasih Subadrom Aziz dan Salwa yang percaya kepada Mummy.

Selepas kejadian itu, Mummy tidak begitu berminat untuk menonton perlawanan bola sepak lagi. Ceritalah apa sahaja, memang Mummy malas nak ambil pusing. Namun, tanggal 21 November ketika Harimau Muda melawan Indonesia dalam perlawanan akhir merebut pingat emas Sukan SEA, Mummy tidak melepaskan peluang menonton perlawanan sengit itu.

Bermula dari situlah, Mummy mengenali anak-anak muda yang telah berjaya mengharumkan nama negara terutamanya Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex. Tiba-tiba sahaja nama Mummy juga `naik’ untuk mencari anak muda ini bagi melaksanakan impian di Grup Buku Karangkraf.

Terasa macam wartawan baru pula, maklumlah sudah lama meninggalkan kerja merisik, mencari nombor telefon dan bercakap dengan orang yang belum pernah kita jumpa. Alhamdullilah, Fahmi seorang anak muda yang simple (tanggapan Mummy yang belum pernah bertemunya). Mudah dan cepat mesra untuk berbincang dengannya biar pun hanya di dalam talian telefon sahaja.

Dua kali menghubunginya, dia sudah pandai menjawab dan bila berbual nampak begitu profesional sekali. Apabila dapat berbual di telefon, Mummy dapat mengagak dia seperti selebriti lain yang Mummy kenal. Kerana komitmen pada tugas, tentunya payah untuk Mummy berjumpa dengannya.

Untuk bercakap dan ber'sms' pun Fahmi memerlukan masa. Ada ketikanya sampai dua hari baru berbalas. Tetapi Mummy faham dengan situasi dan kesibukannya di padang. Tambahan pula, bila dia baru kehilangan adik kesayangann.

Bukan sahaja handal di padang Fahmi juga sering dilanda kontroversi ketika ini. Di dalam telefon, dia sempat meluahkan dan mengulas kontroversi yang sedang hangat diperkatakan tentang dirinya. Selain dikaitkan dengan gadis-gadis jelita, namanya juga dikatakan menjadi buruan penerbit untuk menjadi pelakon. Namun perkara ini dinafikan oleh Fahmi yang mengatakan dia tidak tahu langsung berkenaan perkara itu dan tidak pernah menerima sebarang tawaran.

Terima kasih kepada Khairul Fahmi kerana memberikan kebenaran untuk kami merakamkan kisah dirinya. Mungkin ramai yang keliru, bukan? Jangan risau, kenalah tunggu buah tangan terbaru daripada Grup Buku Karangkraf nanti!

Berita Kaki: Untuk peminat pelakon kacak, Fizo jangan lupa mendapatkan naskah buku resipi daripada Fizo yang berjudul 'Air Tangan Fizo'. Buku terbitan Grup Buku Karangkraf ini dijual dengan harga RM19.90 sahaja. Dapatkan sekarang!
* Intan Zabidin adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.