Kontroversi lagi



TAK LAYAK...Dayoub tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM.

KISAH kontroversi pemain import terus mendapat perhatian apabila pertikaian terbaru membabitkan pemain import Selangor dari Lubnan, Ramez Dayoub dan Mohammed Ghaddar yang kini beraksi bersama Kelantan, turut dikatakan tidak menepati piawaian ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Isu itu kini hangat dibincangkan di kalangan peminat bola sepak tanah air yang mula mempersoalkan status dua pemain import itu yang didakwa melanggar peraturan pengambilan pemain import Liga Malaysia.


Dayoub yang sebelum ini mewakili kelab Myanmar, Magway pada 2011, sepatutnya tidak layak bermain di negara ini kerana tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM untuk pemain beraksi dalam mana-mana liga di negara Asean.

Perkara 17 peraturan FAM memaklumkan pemain import yang bermain atau pernah bermain dalam mana-mana liga Asia Tenggara perlu melalui tempoh ‘cooling-off’ dengan kontrak terakhir mereka perlu tamat sebelum atau pada 7 Disember 2009 sebelum dibenarkan beraksi untuk pasukan Liga-M 2012.


Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin yang ditanya perkara itu berkata, walaupun Dayoub beraksi dalam liga Asean, pemain itu dibenarkan bermain untuk Selangor kerana dia mewakili skuad kebangsaan negara asalnya yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.


“Dalam peraturan ada klausa yang seseorang pemain itu dibenarkan beraksi jika pasukan negara asalnya mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia. Dalam hal ini, Lubnan menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.



Designed By Asal Pelik