Kubur kena ceroboh & korek


BAGAN - Tindakan pantas dua pengawal keselamatan sebuah sekolah di Jalan St Mark yang menghubungi polis selepas curiga melihat tiga lelaki berlegar-legar di Tanah Perkuburan Katolik di sini berjaya menghalang satu kejadian ceroboh.

Sebaik menyedari gerak geri mereka diperhatikan, tiga lelaki terbabit melarikan diri dan polis yang tiba ke lokasi kemudiannya menemui kubur berusia hampir setahun telah separuh digali.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, pihaknya menerima panggilan dari pengawal keselamatan itu pada jam 4 petang kelmarin memaklumkan tiga lelaki dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tanah perkuburan itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Butterworth bergegas ke lokasi namun sebaik tiba, tiga lelaki yang dimaksudkan melarikan diri dengan cara melompat pagar di bahagian belakang kubur berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati sebuah kubur yang berusia setahun telah digali dan turut ditemui ialah beberapa peralatan seperti cangkul dan skop di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga lelaki itu dikatakan memasuki tanah perkuburan itu melalui pagar belakang beberapa jam sebelum itu.

“Bagaimanapun, kelibat mereka telah diperhatikan dua pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah yang terletak bersebelahan dengan kubur berkenaan sebelum menghubungi kita kemudiannya.

“Kubur yang digali itu telah dikenal pasti milik seorang lelaki yang mengetuai sebuah pertubuhan terkenal di daerah ini dan meninggal dunia lebih kurang setahun lalu,” katanya.

Katanya, bagaimanapun kubur yang telah separuh dikorek itu kemudiannya ditimbus kembali dengan kebenaran ahli keluarga si mati sejurus selepas itu.

“Pihak polis masih menyiasat motif kubur itu digali lelaki terbabit dan dalam masa sama sedang mengesan mereka yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan di tanah perkuburan dan di bawah seksyen ini jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun, didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Designed By Asal Pelik