Maharaja Lawak banyak kudis emosi


SOAL apa cerita Maharaja Lawak Mega (MLM) bukan lagi perkara utama kerana kumpulan Osbon kelmarin diumumkan sebagai juara program realiti tersebut. Semoga keputusan itu akan menutup segala sengketa yang berlaku sepanjang MLM bersiaran. Namun, barangkali ia tidak semudah itu kerana setiap kutukan, herdikan serta perang mulut sepanjang lebih dua bulan dalam MLM sudah tertanam dalam hati semua yang terlibat.


Selama 10 minggu, MLM bukan sahaja satu penjenamaan baharu kepada program lawak di Astro. Selama itu juga, daya kelakar dan komedi dalam MLM jarang diangkat atau diperkatakan sehingga ramai yang mendakwa auranya tidak setanding Maharaja Lawak yang mengangkat Sepah sebagai juara.
Dari satu perspektif lain, MLM banyak membongkar corak pemikiran serta etika juri dan peserta MLM. Pemerhati dari luar juga mampu menilai kualiti peserta atau juri program yang diuar-uarkan sebagai raja kepada segala raja lawak itu.


Mahukan yang terbaik, peserta sanggup melakukan apa sahaja sehingga ada idea lawak mereka disalah erti dan dikatakan menghina orang lain. Itu yang berlaku terhadap Bawal Power (hina Zaiton Sameon) dan Adlin Aman Ramli (hina keluarga sendiri). Semua orang mahukan yang terbaik dan tidak mustahil ada kalangan juri sendiri yang ingin dilihat sebagai pengkritik yang hebat. Itulah yang berlaku kepada tukang masak terkemuka, Chef Wan.


Saban minggu ada sahaja komen juri serta idea lawak peserta yang dirasakan tidak sepatutnya diluahkan. Paling ketara ialah pada minggu kelapan iaitu selepas Adlin tersingkir daripada persaingan.
Perang siber dilancarkan. Adlin dan Chef Wan berbalas-balas hamburan menuding jari sesama sendiri dan ia dapat disaksikan ribuan pengikut masing-masing di laman Facebook.
Sehari sebelum final, Afdlin Shauki daripada kumpulan Boboi pula meluahkan tidak puas hati kepada juri paling 'jujur', Chef Wan.


Afdlin dalam satu tulisan melalui Facebook mempersoalkan motif Chef Wan yang berubah daripada seorang yang positif dan ceria sebelum ini kepada seorang yang sinis dan kritikal terhadap MLM.
Dalam kenyataan yang sama, Afdlin menekankan yang MLM sangat berbeza daripada rancangan realiti lain kerana peserta dijemput khas dan bukan melalui uji bakat.
Walaupun Boboi masih terselamat daripada menjadi mangsa 'kejujuran' Chef Wan, Afdlin mendakwa luahan perasaannya di Facebook merupakan suara 'mereka' yang sudah pun tersingkir daripada persaingan yang menjanjikan habuan utama RM350,000 itu.



KUMPULAN Boboi diwakili oleh Afdlin Shauki (kiri) dan Harun Salim Bachik antara yang terselamat daripada komen Chef Wan yang mengguris hati.



"Menjadi juri tidak semestinya menjadi seseorang lebih bagus daripada orang lain. Dia meminta kami supaya jangan kurang ajar dalam berlawak, tapi ada ketikanya dia terlalu emosi. Jadi, adakah dia mempraktikkan apa yang diucapkannya," selar Afdlin terhadap Chef Wan.
Chef Wan tanpa berlengah melepaskan pelurunya, juga dalam Facebook.
"Afdlin tu, kalau nak sangat bercerita banyak, pergi dapatkan penjelasan daripada pihak Astro, kan senang. Sebagai juri, saya telah melakukan tugas saya sejujur-jujurnya.


"Lagipun itu pandangan saya, tak semestinya ia harus dipersetujui semua orang. Ada aku kisah? Ada tiga orang juri lain lagi dan penonton yang undi peserta, apa nak susah," tempelak Chef Wan.
Perang status dalam Facebook itu tidak mudah berakhir selagi individu terlibat masih dikuasai emosi berbanding rasional. Apa yang berlaku kepada Adlin, Afdlin dan Chef Wan bukan sesuatu yang privasi tetapi terbuka kepada umum.


Bergantung kepada pemilihan cara ia diungkapkan, peminat yang bijak pasti boleh menilai artis mana yang betul dan mana yang salah.


Sumber:KOSMO Online


Designed By Asal Pelik