Maut beli tiket bas


GUA MUSANG: Kegembiraan seorang pemuda untuk ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila dia maut selepas membeli tiket bas dalam nahas jalan raya di simpang tiga Taman Damar, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang, Muhammad Zaharudin Ishak, 36, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Ibu mangsa, Ramlah Abdul Kadir, 65, berkata, dia memberi RM50 kepada anaknya membeli tiket bas ke Kuala Lumpur selepas melihatnya sering muram.


“Saya menyuruh dia membeli tiket bas untuk ke rumah seorang anak di Kuala Lumpur. Kami singgah di rumah seorang ahli keluarga di Taman Tropika, di sini, sebelum dia keluar membeli tiket dengan wajah ceria.


“Selepas keluar membeli tiket bas, dia tidak pulang dalam tempoh lama sebelum diberitahu seorang kenalan, anak saya maut dalam kemalangan dan mayatnya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Gua Musang. Saya terkejut dan segera ke hospital untuk melihat jenazah anak saya,” katanya.


Menurut Ramlah, dia reda dengan pemergian anaknya dan menganggap sebagai takdir.

Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, dekat sini, malam kelmarin.


Sementara itu, Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.


Designed By Asal Pelik