Mayat Lelaki Hampir Reput Ditemui Di Sepang

Mayat Lelaki Hampir Reput Ditemui Di Sepang


SEPANG – Misteri bau busuk yang  menghantui penduduk di apartmen Ristavilla,  Taman Putra Perdana, Sepang terjawab apabila  polis menemui mayat lelaki hampir reput di dalam  salah sebuah unit apartmen di situ Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran  Abdul Rahman berkata, mangsa dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an ditemui mati di  ruang tamu rumahnya dengan kedua-dua belah  tangan diikat dan mulut disumbat dengan kain.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati  mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang  butir pengenalan diri ditemui, sehubungan itu kes  akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun  Kesiksaan.
“Penemuan mayat tersebut ekoran laporan  penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk dari  salah sebuah rumah di apartmen terbabit,  bertindak atas laporan penduduk polis memecah  masuk rumah berkenaan dan menemui mayat  lelaki hampir reput di ruang tamu.

“Polis mengklasifikasikan kes kematian warga  asing tersebut sebagai kes bunuh. Pemeriksaan  mendapati lelaki itu tinggal bersama dua lelaki  warga Nigeria dan seorang wanita warga  tempatan yang telah menghilangkan diri,” katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, polis kini sedang giat mencari tiga  individu terbabit bagi membantu siasatan dan  kehilangan mereka menimbulkan syak.

Tiga individu terbabit merupakan pelajar kolej  swasta dan dikenali sebagai Ekemezie Elochukwu  Jacob, 31, Kaba N’Famory, 33 dan Mazlina  Kashedeli, 31.

Orang ramai yang mengenali atau menjumpai  individu terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat  Polis Daerah (IPD) Sepang di talian 03-  87774222 untuk membantu siasatan.


Designed By Asal Pelik