The Artist dipilih filem terbaik

MICHEL HAZANAVICIUS (dua dari kiri) penerbit filem The Artist, Thomas Langmann (kiri), Jean Dujardin (dua dari kanan) dan Berenice Bejo (tiga dari kiri) bergambar meraikan kemenangan filem itu di Los Angeles

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Filem romantik Perancis arahan Michel Hazanavicius, The Artist dinobatkan filem terbaik pada Anugerah Pilihan Pengkritik yang berlangsung di sini kelmarin.
The Artist yang menampilkan teraju kurang ternama iaitu aktor Jean Dujardin dan aktres Berenice Bejo turut merangkul tiga lagi anugerah termasuk Pengarah Filem Terbaik.

Pelakon veteran Hollywood, George Clooney pula merangkul anugerah Aktor Terbaik manakala Aktres Terbaik pula dimenangi oleh Viola Davis masing-masing menerusi filem The Descendants dan The Help.
Dianjurkan Persatuan Penyiaran dan Pengkritik Filem Amerika (BFCA), anugerah tahunan itu bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian terbaik di layar perak.

Pelakon filem Beginners, Christopher Plummer memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala kategori wanita pula menjadi milik Octavia Spencer menerusi filem The Help.

Filem bajet besar Hollywood, Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 pula gagal menyerlah pada apabila ia cuma merangkul dua anugerah iaitu Mekap Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik. - Agensi


Designed By Asal Pelik