Paku 1.5 kg ditabur di jalan Indonesia


SEORANG anggota polis menggunakan magnet untuk mengumpul paku yang ditabur di sebatang jalan raya di Jakarta, baru-baru ini. - AGENSI

JAKARTA 11 Jan. - Keselamatan dan keselesaan pemandu kenderaan bermotor di Jakarta semakin terganggu apabila ribuan paku ditabur pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mahu meraih keuntungan di jalan-jalan raya utama.

Mendedahkan perbuatan biadap itu, Pengarah Lalu Lintas Polis Daerah Metro Jaya, Wahyono berkata, berdasarkan laporan polis, dianggarkan 1.5 kilogram paku ditebar di jalan-jalan raya di sekitar Jakarta, Depok, Bekasi, dan Tangerang setiap hari.

Menurut beliau, kegelisahan dan kebimbangan orang ramai meningkat sejak ancaman ranjau paku dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan itu pihak polis katanya, meningkatkan kawalan di kawasan-kawasan yang banyak ditabur paku.

Bagaimanapun, polis juga kata beliau, berdepan dengan kesulitan kerana pelaku dapat mengesan tindakan pihak berkuasa yang meningkatkan kawalan dengan mengalihkan modus operandi mereka ke lokasi lain serta waktu yang berbeza.

Pada masa sama, Polis Metro Jaya juga meningkatkan kerjasama dengan bahagian kawalan jenayah umum untuk menangani isu ini.

Tahun lalu, polis berjaya memberkas tiga orang yang didakwa terlibat dalam kesalahan menaburkan paku.

Dua daripada suspek itu dikesan bertanggungjawab menabur paku di jalan manakala seorang lagi suspek didakwa sebagai tukang menampal tayar kenderaan yang berkomplot dengan penabur paku.

"Kebiasaannya si penabur paku dan tukang menampal tayar mempunyai pertalian," kata Wahyono.

Jalan-jalan utama yang dikesan menjadi tumpuan penebar paku ialah Jalan Gatot Subroto, Jalan TB Simatupang, Jalan Fatmawati 4, Jalan Sultan Agung 6. Jalan Cassablanca, Jalan Hayam Wuruk, Jalan Jeneral Sudirman dan beberapa jalan utama lain.


Designed By Asal Pelik