Pelajar Lemas Ketika Aktiviti Riadah Di Port Dickson


PORT DICKSON – Mayat seorang pelajar kolej swasta, Nazaruddin Bisul Rahman, 20, yang dipercayai lemas ketika mengadakan aktiviti riadah di Pantai Cahaya Negeri (Batu 4) di sini, ditemui kira-kira tiga jam selepas kejadian dilaporkan hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Nizam Sapaiee, berkata bilik gerakan bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kemalangan itu jam 9.02 pagi.

“Kita kemudian melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan disertai 20 anggota termasuk pasukan penyelamat di air bermula dengan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi mencari kemudian diperluaskan ke kawasan sekitar sehingga mayat Nazaruddin ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari berhampiran kawasan dia dilaporkan hilang. Kemalangan itu berlaku ketika air laut sedang pasang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh, berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

“Mangsa datang dari Petaling Jaya bersama empat rakannya lelakinya untuk bercuti, selain dua rakan perempuan dari Seremban. Kesemua mereka adalah rakan sekolej,” katanya. – BERNAMA


Designed By Asal Pelik