Seluruh negara memperkatakan kehebatan lakonan Nora Danish, Adi Putra, Liza Abdullah, Ako Mustapha, Irfan Roslan, Tasha Shilla, Izreen Azminda dan Puteri Sarah dalam drama bersiri yang berjaya mencetuskan fenomena baru menerusi slot Akasia TV3, Tentang Dhia, apabila episod terakhir yang ditayangkan pada petang Khamis lalu telah mencatat jumlah penonton hampir 3 juta (Sumber: Nielsen Media Research).

Tentang Dhia, sebuah kisah cinta menggamit emosi dan penuh dramatik terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd mengisahkan dilema gadis bernama Dhia (Nora Danish) yang berdiri di antara dua lelaki yang sangat dikasihinya. Percintaan tiga segi ini turut menjadi mimpi ngeri apabila dia dicemburui Melly (Izreen Azminda). Kebahagiaan yang diidam Dhia tidak datang dengan mudah apabila terpaksa berhadapan dengan rancangan jahat ibu mertuanya sendiri. Walaupun diuji pelbagai rintangan, cinta Dhia dan Zikir (Adi Putra) tetap utuh sehingga nafas terakhir.

Selepas berakhirnya drama Tentang Dhia, peminat drama TV3 telah disajikan dengan drama penuh romantis, Gemersik Kalbu di slot Akasia yang membariskan lakonan mantap Aqasha, Ayu Raudhah, Fazreen Rafi, Zain Saidin, Anzalna Nasir, Dian P Ramlee dan ramai lagi bermula 2 Januari lepas.