Penyamun bawa lari mesin wang

suspek-curi-atm



PUCHONG – Lagak bersahaja sekumpulan penyamun membawa lari dua mesin wang dari sebuah pasaraya di Taman Putra Prima di sini berakhir malang apabila ketiga-tiganya berjaya diberkas orang ramai yang melihat kejadian itu, tengah hari semalam.

Pengerusi Kepolisan Masyarakat (CP) Selangor, Kuan Chee Heng berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh salah seorang ahlinya yang turut sama mengejar tiga suspek yang cuba melarikan diri.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an memasuki pasaraya manakala dua lagi rakan mereka dipercayai menunggu di dalam sebuah kereta yang diletakkan di luar kedai.

“Suspek membawa sebilah kapak dan sepucuk pistol dipercayai palsu mengumpil mesin wang yang diletakkan di kaunter pembayaran sebelum ketiga-tiganya menuju ke arah sebuah kereta yang menunggu mereka di luar.

“Pemilik kedai yang geram dengan perbuatan suspek, bertindak mengejarnya dan tindakan turut dituruti tiga lagi orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, menyedari aktiviti jahat mereka terbongkar, dua rakan suspek yang berada di dalam kereta memecut laju kenderaan dinaiki dan meninggalkan tiga lagi rakan mereka.

“Salah seorang daripada tiga yang melarikan diri berjaya dicekup orang awam sebelum dua lagi berjaya diberkas polis kira-kira 30 minit selepas itu di sebuah rumah kosong berhampiran.

“Mesin wang yang dibawa lari berjaya ditemui semula,” katanya yang memuji keprihatinan orang awam dan kepantasan pihak polis dalam memberkas penjenayah.


Designed By Asal Pelik