Perubahan Raja Lawak 6


MASUK gelanggang. Barisan finalis Raja Lawak musim keenam yang bakal bertarung sesama sendiri.

PROGRAM realiti Raja Lawak musim keenam kembali dengan menampilkan 12 finalis yang telah bersedia untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak sekali gus merangkul gelaran Raja Lawak musim terbaharu ini.

Mereka termasuklah kumpulan Zero, Skema, 2yol, Gman, Albob, Shiro, Riki, Selak, Ketupat, King serta peserta solo, Kodan.

Terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh pihak Astro bagi memastikan Raja Lawak kali ini terus segar dan selari mengikut peredaran industri lawak jenaka yang semakin rancak berkembang.

“Saya mewakili pihak Astro Warna berasa amat teruja dan sudah tidak sabar lagi untuk membuka Gelanggang Raja Lawak menerusi saluran ini bersama 12 peserta yang telah dipilih menerusi sesi saringan pemilihan yang ketat,” ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Buat pertama kalinya, program ini bakal membawa masuk khidmat pelawak yang pernah dicungkil bakat mereka melalui Raja Lawak musim lalu bagi mencurahkan ilmu kepada para peserta.

Mereka terdiri daripada Angah dan Kumpulan Jambu yang terdiri daripada Yus dan Tauke yang bakal memikul tanggungjawab sebagai Cif Kecik dan bertindak sebagai penasihat kepada peserta di bawah pemerhatian mereka yang telah dipecahkan menjadi beberapa kumpulan sebelum mengadakan persembahan setiap minggu.

Sementara pengarah, pelakon dan penerbit, Ahmad Idham telah dilantik sebagai Cif Besar bagi memantau Cif Kecik serta para peserta yang di bawah seliaan mereka.

“Saya keliru pada awalnya kerana dipilih. Namun akhirnya saya difahamkan tentang fungsi saya dalam program ini yang bukan mahu mengajar mereka untuk menyuntik tentang pengisian komedi yang dimahukan penonton hari ini.

"Kita tidak akan ganggu kreativiti mereka namun kita akan tambah 'perisa' untuk mantapkan lagi pengisiannya. Saya rasa itu tugas saya sebagai Cif Besar dan sangat berbesar hati dengan tanggungjawab yang diberikan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali sebagai Johan dan gandingannya Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan kekal sebagai hos Raja Lawak musim terbaharu ini.

Bagi peminat setia program Raja Lawak, jangan lupa saksikan Gelanggang Raja Lawak musim keenam yang akan bersiaran langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil pada setiap Jumaat, pukul 10.00 malam bermula 13 Januari 2012.

Selain itu, Al-Kisah Raja Lawak akan disiarkan sebanyak dua episod pada 11 dan 12 Januari 2012 pukul 9 malam dan Kapsul Raja Lawak akan disiarkan selama lima minit pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 9.55 malam bermula 16 Januari 2012.


Designed By Asal Pelik