Pitt-Jolie jumpa Obama





WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pasangan kekasih, Brad Pitt dan Angelina Jolie singgah sebentar di White House di sini kelmarin untuk berbual dengan Presiden AS, Barack Obama di Pejabat Oval.

Mereka dilihat berada di dalam pejabat rasmi Obama itu oleh sekumpulan jurugambar yang menanti di luar bangunan untuk merakamkan gambar presiden itu ke bandar raya Chicago.

Pihak White House mengesahkan Pitt dan Jolie berada di Washington untuk menghadiri tayangan filem arahan Jolie, In The Land of Blood and Honey yang mengisahkan tentang jenayah Perang Bosnia.

Mereka singgah di White House supaya Obama boleh berbincang dengan Jolie tentang usahanya untuk menghalang kekejaman besar-besaran dan memerangi keganasan seksual terhadap wanita.

Pitt, 48, dilihat berjalan dengan menggunakan tongkat ekoran kecederaan yang dialaminya semasa bermain ski tidak lama dahulu.

Kunjungan tersebut bukan yang pertama buat pasangan Pitt dan Jolie.

Pada tahun 2009 mereka menemui Obama dengan Pitt berbincang mengenai usahanya untuk membina semula sebuah wad di New Orleans yang musnah selepas dilanda Taufan Katrina.

Jolie turut menemui Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus di ibu pejabat agensi berkenaan di sini.

Jolie yang popular menerusi lakonannya dalam filem Tomb Raider, mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Petraeus.

Dia dilaporkan mahu mendapatkan perspektif ketua CIA berkenaan berhubung trend budaya di Afghanistan bagi memudahkan usahanya untuk membantu pelarian negara berkenaan.

Jolie, 36, pernah mengadakan pertemuan yang sama di ibu kota Iraq, Baghdad pada tahun 2008. - Agensi


KOSMO



Designed By Asal Pelik