PKR mahu teruskan kempen 'Bebaskan Anwar 901'

PKR tetap ingin meneruskan demonstrasi Kempen "Bebaskan Anwar 901" walaupun permit tidak dipohon untuk menganjurkan kempen itu.

"Memang kita tidak berhasrat untuk memohon permit kerana kita tahu permit untuk penganjuran ini tidak akan dikeluarkan (oleh polis) seperti mana yang berlaku," kata Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie.
  
NONEPerhimpunan yang dirancang Isnin ini bertujuan menuntut keadilan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu pada hari tersebut.
  
Ditanya mengenai 336 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara sehingga semalam bagi mendesak agar kempen itu dihentikan, Shuhaimi berkata PKR tidak akan tunduk atas desakan itu.
  
Katanya, selain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa lokasi di sekitar ibu negara juga akan dijadikan tempat untuk mengadakan kempen itu namun lokasinya masih belum diputuskan.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang didakwa berbaur hasutan mengajak rakyat hadir di demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang di Kuala Lumpur Isnin ini.
  
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibunegara, menggesa polis menyiasat kenyataan Azmin dalam satu laman portal tempatan yang didakwa menghasut rakyat berhimpun dan menyertai kempen "Bebaskan Anwar 901" di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  
Azmin dilaporkan berkata pakatan pembangkang bersetuju untuk menggerak dan mengumpulkan penyokong mereka berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari berkenaan. Polis telah mengeluarkan arahan keras tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan.
  
Syed Hassan berkata tindakan Azmin itu boleh mengancam keselamatan negara serta menimbulkan kekacauan Isnin ini.
  
Ditanya sama ada Perkasa akan mengadakan demonstrasi balas, Syed Hassan berkata Perkasa akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menanganinya tanpa masuk campur dan berdemonstrasi pada hari tersebut.

"Kita tidak akan mengadakan perhimpunan balas tetapi kita akan mengadakan solat sunat hajat sebelum solat Asar 8 Jan di Masjid Wilayah Jalan Duta dan dijangkakan 500 orang turut serta," katanya.
  
Perkasa sebelum ini telah membuat kira-kira 30 laporan polis di seluruh negara berhubung demonstrasi "Bebaskan Anwar 901".

- Bernama


Designed By Asal Pelik