Sebutan Semula Kes Murtad 2 Beradik 12 Mac 

PULAU PINANG – Mahkamah Tinggi  Syariah di sini menetapkan 12 Mac ini untuk  sebutan semula kes dua beradik yang memohon mendapatkan pengisytiharan keluar daripada  agama Islam (murtad).
Hakim Syarie, Othman Ibrahim menetapkan tarikh  tersebut bagi membolehkan Majlis Agama Islam  Pulau Pinang (MAIPP) membuat hujahan terhadap  permohonan yang dikemukakan oleh Roslina  Abdul Rashid dan adiknya Rosli yang  masing-masing berumur 30-an.

MAIPP yang dinamakan sebagai defendan diwakili  peguam syarie, Faizal Arif Tajul Ariffin manakala  kedua-dua beradik itu selaku pihak plaintif yang  diwakili peguam syarie, Wan Faridulhadi Mohd.  Yusoff tidak hadir di mahkamah.

Tuntutan tersebut dilaksanakan menurut  undang-undang yang mula terpakai sejak 1  Januari 2006, lanjutan kepada Seksyen 61  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau  Pinang) 2004 yang memberi kuasa kepada  mahkamah untuk mendengar dan memutuskan  semua tindakan dan
prosiding membabitkan  perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Sementara itu, Faizal Ariff ketika ditemui di luar  mahkamah memberitahu, kes tersebut masih di  peringkat prosiding awal dan pihaknya  memerlukan masa untuk memulakan hujahan  balas.
“Pada masa ini kes hanya melibatkan hujahan  balas antara peguam dan tarikh perbicaraan akan  ditetapkan kemudian.

“Kedua-dua plaintif juga tidak perlu hadir untuk  sebutan semula kes namun perlu berbuat  demikian ketika perbicaraan nanti,’’ katanya. – mynewshub.my


Designed By Asal Pelik