Putus jari diserang perompak

Putus jari diserang empat perompak



SEREMBAN 2 - Seorang ahli perniagaan putus ibu jari kanan dan cedera di lengan serta kepala. selepas diserang empat perompak yang memecah masuk rumahnya di Park Avenue, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, penyamun terbabit yang bersenjatakan parang, sabit, kunci stering dan kayu berjaya masuk ke dalam rumah selepas mengumpil pintu tepi kediaman mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan dua anaknya nyenyak tidur, dan terjaga selepas terdengar bunyi rumah dimasuki orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, empat penyamun terbabit dipercayai warga asing.

Menurutnya, salah seorang anak mangsa yang menyedari kejadian itu menjerit meminta tolong menyebabkan seorang daripada penyamun terbabit berang, lalu memukul mangsa dan isterinya.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan penyamun, menyebabkan pasangan suami isteri terbabit mengalami kecederaan, mengakibatkan ibu jari kanan ahli perniagaan terbabit putus.

“Selepas pergelutan itu, penyamun mula panik dan segera melarikan diri, tetapi sempat meragut rantai leher anak mangsa,” katanya.

Hamdan berkata, siasatan awal mendapati, penyamun berkenaan hanya sempat mengambil rantai dan tiada barangan lain yang diambil dari rumah terbabit.

“Pihak polis masih menyiasat kejadian mengikut Sek­syen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan ber­kum­pulan.

“Mangsa kini masih mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur untuk menyambung jarinya," katanya.

Manakala isterinya yang turut cedera di jari manis mendapat rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malay­sia (HUKM).


Designed By Asal Pelik