RM6.27j syarat bebas tebusan

Warren Richard Rodwell
Warren Richard Rodwell
 
Rakaman video dihantar kepada keluarga bekas askar Australia sebagai bukti

MANILA: Seorang bekas anggota tentera Australia diculik di selatan Filipina merayu supaya diselamatkan dalam satu video yang dihantar kepada keluarganya sambil menggesa Manila dan Canberra mengumpul wang tebusan AS$2 juta (RM6.27 juta) yang dituntut penculik.
Video itu memaparkan keadaan Warren Richard Rodwell, 53, bersama empat gambar menunjukkan dia digari dan cedera pada tangan kanan.
Ia dihantar kepada isterinya, seorang warga Filipina sebelum Krismas, kata pegawai polis. Agensi berita Associated Press (AP) melihat salinan video dan gambar itu, semalam.

Memakai baju sejuk dan membaca mesej di sekeping kertas, Rodwell berdehem ketika bercakap dalam video ringkas itu, yang diberi oleh keluarganya kepada penyiasat polis Filipina.

Dia kelihatan lesu dan ada kalanya mengelip mata ketika berdiri di depan kain tarpal biru yang menyekat pemandangan sekitarnya.

Satu daripada gambar menunjukkan gari berwarna perak dan rantainya terjuntai dari lengan kirinya. Bahagian tapak tangan kanannya cedera.
Rodwell yang sebelum ini bekerja sebagai pensyarah universiti di Shanghai, diculik enam lelaki bersenjata pada 5 Disember lalu di bandar selatan Ipil, wilayah Sibugay Zamboanga.

Ia adalah penculikan terbaru seorang warga asing di selatan bergolak negara itu. Beberapa penculikan untuk mendapatkan wang tebusan biasanya dipersalahkan ke atas kumpulan Abu Sayyaf yang dikatakan ada hubungan dengan al-Qaeda.

Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas penculikan Rodwell, namun pihak berkuasa mengesyaki Abu Sayyaf dan lelaki bersenjata yang bersekongkol mungkin bertanggungjawab.

Superintendan Kanan polis Filipina, Ruben Cariaga memberitahu AP, Ahad lalu, bahawa penculik menelefon isteri Rodwell sebelum Krismas menuntut wang tebusan awal sebanyak AS$23,000 (RM72,174).

Kerajaan Australia sudah menubuhkan satu pasukan khas menyiasat penculikan dan berunding dengan penyerang. Australia mempunyai dasar enggan membayar wang tebusan. Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia semalam enggan mengulas.

“Fokus utama kami kekal dengan kebajikan Rodwell,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

“Kedutaan kami di Filipina bekerja rapat dengan pihak berkuasa tempatan dengan sokongan daripada pasukan tugas khas penuh kerajaan di Canberra,” tambahnya.

Beratus-ratus askar Filipina dan polis mencari Rodwell di semenanjung Zamboanga dan pulau Basilan berhampiran, lokasi kumpulan militan Abu Sayyaf dan lainnya aktif.


Designed By Asal Pelik