Saintis Iran maut dibom




TEHERAN: Seorang saintis nuklear Iran terbunuh dalam letupan bom didakwa didalangi Israel, semalam, sekali gus mungkin meningkatkan ketegangan antarabangsa ke tahap berbahaya.

Sejurus selepas Mostafa Ahmadi Roshan terkorban dalam kejadian itu, Timbalan Gabenor Teheran, Safar Ali Bratloo, menyalahkan “regim Zionis” dan mendakwa cara pembunuhan itu sama seperti dilakukan ke atas tiga saintis lain dalam tempoh dua tahun lalu.


“Kaedah pengganas itu sama dengan apa yang dilakukan ke atas saintis lain di Iran,” katanya.

Mostafa, 32, terbunuh selepas dua lelaki bermotosikal meletakkan bom dilengkap magnet ke kenderaan mangsa di depan sebuah kampus universiti di timur Iran.

Dua lagi penumpang kereta Peugeot 405 itu, termasuk seorang pengawal peribadi merangkap pemandu Mostafa, cedera.

Mostafa, graduan Universiti Sharif 10 tahun lalu, adalah Timbalan Pengarah di Loji Pengayaan Uranium Natanz.

Laman sesawang universiti berkenaan menyatakan, Mostafa memiliki kepakaran dalam membuat membran polimer bagi mengasingkan gas.

Iran menggunakan kaedah itu untuk meningkatkan keupayaan uranium.

Pada 2010 dan 2011, tiga saintis Iran terbunuh apabila kereta mereka diletupkan dalam kejadian seperti semalam.

Sekurang-kurangnya dua daripada tiga mangsa bertugas dalam program nuklear Iran.

Sementara itu, Parlimen Iran turut bergema dengan jeritan “Hancur Israel” dan “Hancur Amerika” ketika seorang daripada ahlinya berucap dengan menegaskan, kematian Mostafa tidak akan membantutkan usaha negara itu “mencapai kemajuan.” - AFP


Designed By Asal Pelik