Samun wang RM400,000



Polis menjalankan siasatan di premis pengurup wang yang dirompak di IOI Mall, Puchong, Selangor semalam.


PUCHONG - Dua pekerja premis pengurup wang berlesen di pusat beli-belah IOI di sini cemas apabila diacu parang oleh dua lelaki menyebabkan kerugian RM400,000 kira-kira 15 minit selepas premis itu memulakan operasinya semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, dua suspek tersebut menutup mata dan mulut mangsa termasuk seorang wanita serta mengikat tangan mereka sebelum melarikan wang tunai di dalam premis itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superitenden Abdul Razak Elias berkata, ketika kejadian, terdapat dua pekerja di dalam premis tersebut manakala pengawal keselamatan syarikat itu keluar untuk membaiki motosikalnya.

"Ketika kejadian, dua pekerja termasuk seorang daripadanya yang baru sehari bekerja itu didatangi oleh suspek yang memakai topi besbol dan baju berwarna merah lalu mengacu parang ke arah mangsa.

"Selepas menutup mata dan mengikat tangan mangsa, dua suspek terbabit mengambil pelbagai mata wang berjumlah RM400,000 dan sebuah Unit Pemprosesan Komputer (CPU) kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kesemua wang yang akan diletak di kaunter hadapan premis itu kemudian dipindahkan ke dalam sebuah beg galas yang dibawa oleh suspek.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.



Designed By Asal Pelik