Simple Plan masih relevan



VOKALIS Simple Plan, Pierre Bouvier bijak dalam menarik perhatian dan fokus audiens.


SABTU lepas, band Kanada, Simple Plan telah menggegarkan KL Live dengan konsert kali kedua mereka di Malaysia. Ia sempena konsert jelajah Asia mereka serta promosi album keempat yang berjudul Get Your Heart On!.

Selepas 10 tahun muncul dengan empat buah album dan lagu-lagu hit seperti Addicted, Perfect dan Welcome To My Life dan kini Jet Lag, Simple Plan masih bertahan dan kekal popular.
Beberapa jam sebelum Konsert Get Your Heart On! bermula pada pukul 9.20 malam, Kosmo! berkesempatan menemubual anggota Simple Plan, Pierre Bouvier (vokal), Jeff Stinco (gitar utama), Sebastien Lefebvre (gitar/suara latar), David Desrosiers (gitar bass/suara latar) dan Chuck Comeau (drum/perkusi). Ternyata mereka semua profesional, merendah diri dan suka berjenaka.

Gembira berada di Malaysia meskipun cuaca di Malaysia kini panas berbanding dengan musim sejuk di negara mereka, kata Pierre ini kunjungan ketiga mereka ke Malaysia. Kunjungan kali pertama mereka hanya datang untuk mempromosi album.
“Kami semua suka berada di sini, boleh pakai seluar pendek, tidak perlu pakai baju tebal-tebal dan makanan di sini semuanya pedas tetapi sedap. Kami berharap kunjungan ini bukan yang terakhir, kami akan datang lagi pada masa depan,” ujar Pierre.

Bercerita lanjut mengenai album terbaharu mereka yang telah berada di pasaran pada tahun lalu yang mengambil masa selama tiga tahun untuk dihasilkan, kata Chuck sambil disokong Pierre yang banyak menulis lagu untuk album ini, masa diperlukan untuk menghasilkan album berkualiti.
“Selepas muncul dengan album ketiga, kami sibuk mengadakan konsert jelajah ke seluruh dunia dan ia mengambil masa yang lama. Seperti juga album keempat ini , sejak ia dilancarkan pada Jun tahun lalu, bermula Julai sehingga hari ini konsert jelajah dan promosi album ini masih belum berakhir.
“Habis sahaja konsert jelajah kami berehat sebentar dan mula menulis lagu. Lagu yang dimuatkan dalam album harus yang memenuhi selera peminat serta kami sendiri. Jadi pemilihan lagu perlu dibuat dengan cukup teliti, sebab itu ia ambil masa,” kata Pierre.

Suka Asia
Disoal, tidak tertekankah mereka sewaktu membikin album kerana setiap album yang dihasilkan pasti mempunyai lagu hit dan harapan tinggi menggunung yang diberikan oleh peminat. Jawab Chuck: “Tekanan itu memang ada, apatah lagi album keempat mengambil masa selama tiga tahun, peminat sudah menanti cukup lama.
“Jika album baharu tidak memenuhi selera mereka macam mana? Perkara itu sering bermain dalam fikiran kami semua.

“Setiap kali album baharu keluar, peminat pasti akan membandingkan, adakah album baru lebih baik daripada album terdahulu. Jadi, untuk terus memberikan yang terbaik memang kami cukup tertekan, tetapi kerana sokongan peminat kami memberikan yang terbaik.”
Sudah menjadi rutin Simple Plan mengadakan konsert jelajah seluruh dunia. Selepas Malaysia, mereka akan mengadakan konsert di Singapura, Indonesia, Jepun, Kanada, Portugal, Sepanyol dan seluruh Eropah.
Bagaimanapun lokasi yang menjadi kegemaran mereka adalah Asia Tenggara termasuk Malaysia kerana budayanya yang cukup unik.

“Lihat sahaja pada makanan di sini, ada campuran India, Cina dan Melayu. Sama juga negara Asia Tenggara yang lain, budayanya memang cukup unik, kami semua cukup gembira berada di sini, peminat kami di sini juga ramai termasuk gadisnya juga cantik-cantik,” bicara Jeff pula berseloroh.
Ucap Pierre, sebagai sebuah band mereka cukup bertuah kerana mempunyai lagu-lagu hit yang menjadi siulan di seluruh dunia dan ahli band juga masih kekal sama seperti 10 tahun lalu.
“Kami cukup bersyukur dengan apa yang kami miliki hari ini, album yang masuk dalam carta, peminat yang ramai, serta kami masih kekal bersama selepas 10 tahun dan berharap kami akan kekal bersama sampai bila-bila,” kata Pierre sambil dipersetujui oleh ahli yang lain.

Ditanya apakah rahsia buat mereka kekal bersama sehingga ke hari ini, kata Sebastien, mereka merupakan rakan sewaktu zaman persekolahan, mempunyai minat yang sama terhadap muzik dan melakukan perkerjaan yang diminati.

“Rahsia yang sebenar saya tidak tahu tetapi apa yang saya boleh katakan, kami sentiasa seronok dengan apa yang dilakukan dan sentiasa menghargai muzik dan diri masing-masing,” jawabnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, mereka sempat menitipkan nasihat buat anak muda yang teringin membentuk sebuah band dan menjadi terkenal seperti mereka.

“Percubaan pertama tidak selalunya berjaya, sebaliknya akan menemui kegagalan bukan sekali tetapi berkali-kali, sama seperti kami. Asah bakat kerana hanya dengan bakat sahaja tidak akan ke mana jika tidak berlatih dengan keras.

“Muzik yang dicipta tidak harus meniru orang lain sebaliknya ia harus dari hati dan perasaan sendiri. Muzik seperti itu akan kekal bertahan lama dan menyentuh jiwa orang yang mendengarnya,” kata Pierre.
Dalam konsert mereka yang berlangsung selama satu jam lebih itu, Simple Plan telah mendendangkan sebanyak 21 buah lagu termasuk Jet Leg, Shut Up, Addicted, My Alien, Perfect, Loser of the Year dan This Song Saved My Life.

Pierre cukup bijak mengawal penonton dan sesekali bertutur dalam bahasa Melayu seperti terima kasih dan apa khabar. Energi yang ditonjolkan mereka turut disertai oleh penonton yang tanpa henti melompat dan menyanyi bersama tanpa diminta.

Janji mereka menerusi ucapan Pierre ketika di atas pentas, Simple Plan pasti akan kembali semula ke Malaysia dengan sebuah konsert yang lebih hebat.


Designed By Asal Pelik