Suami Letak Racun Dalam Sarapan Isteri

Suami Letak Racun Dalam Sarapan Isteri


AMERIKA SYARIKAT – Polis di Azusa, California telah menahan seorang lelaki yang didakwa sengaja meletakkan bahan kimia beracun ke dalam bijirin sarapan ‘Rice Krispies’ milik isterinya dalam cubaan untuk membunuh pasangannya itu.

Menurut laporan dari Daily Chilli, Fernando Porras, 43, didakwa mengisi bijirin sarapan isterinya ke dalam mangkuk dengan diletakkan bersama-sama sejenis bahan kimia penanggal kotoran yang popular, Goof Off.
Anak perempuan Fernando, Fernanda, 17, terus membuat panggilan ke pihak berkuasa selepas ibunya memberitahu bijirin terbabit berbau ‘pelik’ dan rasanya amat teruk.

“Saya dapat rasakan ada sesuatu yang ‘pelik’ dan tidak kena dengan bijirin itu. Jadi, saya melihat dan menghidu mangkuk itu lalu terbau bahan kimia yang sangat kuat,” kata Fernanda.
Fernando menjadi suspek utama apabila dia keluar dari hospital untuk menghisap rokok selepas menghantar isterinya ke hospital dan tidak munculkan diri selepas itu.

“Dia terus menghilangkan diri dari hospital dan tiada di sisi isterinya,” kata Koperal Randy Schmidt.
Walau bagaimanapun, seorang pegawai polis telah mengesan kedudukan Fernando dan menahannya kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan hospital.
Bagi anak Fernando, Fernanda, dia amat terkejut dengan tindakan bapanya dan tertanya-tanya sebab utama Fernando bertindak sedemikian rupa.

Isteri Fernando yang berusia 51 tahun dikeluarkan dari hospital dalam keadaan yang baik dan stabil serta disahkan doktor terselamat dari kesan kimia penanggal kotoran tersebut.
Sarjan Dewayne Eldridge turut mendakwa kes ini amat jarang sekali dilaporkan dan berlaku di kawasan perumahan terbabit.

Fernando diikat jamin sebanyak US$1 juta (RM3.14 juta) dan akan didakwa dengan cubaan membunuh pada perbicaraan yang ditetapkan Selasa depan.
Oleh: NAIMAH SHAARI


Designed By Asal Pelik