Taruh harapan temui kembar April ini




KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita, Lee Kon Kiew yang sanggup terbang dari Sydney, Australia semata-mata untuk bertemu dengan kakak kembarnya yang terpisah sejak lahir tidak kesampaian apabila saudara kembarnya itu dipercayai masih belum bersedia untuk berjumpanya.

Bagaimanapun, Kon Kiew masih menaruh harapan untuk bertemu dengan pasangan kembarnya itu, Lee Kon Lin atau nama Islamnya, Fazilah Ibrahim walaupun hanya untuk seketika suatu hari nanti.
Kon Kiew, yang tiba dari Sydney minggu lepas untuk bertemu Fazilah kelihatan sedih selepas mengetahui yang kembarnya masih belum bersedia untuk menemuinya.


"Saya mungkin akan pulang ke Malaysia pada awal April depan selama beberapa minggu dan saya amat berharap pada waktu itu Fazilah telah bersedia untuk bertemu dengan saya.
"Walaupun berlainan pegangan agama, saya harap itu tidak menjadi alasan untuk kami dipertemukan semula," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad sebelum dia pulang ke Sydney di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin lalu.

Menurut Kon Kiew, keinginannya untuk disatukan kembali tidak pernah luntur biarpun usaha untuk menemukan mereka tidak menjadi kenyataan setakat ini.

Dia yang telah berhijrah ke Australia sejak tahun 1986 dan bekerja sebagai tukang masak di sana berharap, Fazilah dapat menghubunginya melalui telefon atau e-mel jika dia sudah bersedia kelak.
"Sekiranya Fazilah sudah bersedia, dia boleh menghubungi saya di nombor 00-61422119-663 atau mengirim e-mel di alamat gilmori@gmail.com," katanya.


Designed By Asal Pelik