‘Telaga boring’ meletup


KOTA BHARU – Seorang penggali telaga tiub atau lebih dikenali sebagai ‘telaga boring’, di sini terkejut apabila satu letupan kuat berlaku ketika dia sedang menyiapkan kerja memasang paip telaga.

Mizi Deraman, 41, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam kerja berkenaan dikejutkan dengan situasi itu pada jam 7.30 petang, Selasa lalu setelah masuk hari kedua menggali di tepi sebuah rumah di Kampung Aman, Lundang di sini.

Menurutnya, dia telah menggali sedalam 9.45 meter sebelum terdengar bunyi aneh, menggelegak seperti air yang sedang mendidih, bagaimanapun, belum sempat dia berbuat apa-apa, satu letupan berlaku menyebabkan dia lari menyelamatkan dirinya.

“Letupan kuat itu menggegarkan kampung ini dan saya nampak gas keluar dari paip setinggi 5 meter melepasi bumbung rumah. Masa itu saya hanya mengucap dan bernasib baik kerana terselamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, wap itu mengeluarkan bau yang sangat kuat dan apabila dicucuh dengan mancis, wap tersebut menghasilkan api.

“Selepas kejadian pertama itu, empat lagi letupan besar berikutnya berlaku. Kejadian kedua terjadi pada jam 2 pagi, Rabu lalu serta berselang seli antara lewat petang dan awal pagi sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, juga penduduk asal kampung tersebut, Ismail@Rashid Hussin, 64, berkata, itu kejadian pertama dialaminya dan dia kini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

“Saya takut untuk berada di dalam rumah kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap ahli keluarga serta rumah saya. Selepas empat hari kejadian ini, tidur pun tidak lena,” katanya.

Menurutnya, dia yang menghubungi pihak bomba dinasihatkan anggota balai itu supaya menjauhi barangan mudah terbakar dari kawasan tersebut termasuk rokok.

“Bomba kata, gas yang keluar itu tidak berbahaya tetapi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan akan menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains untuk membuat kajian lanjut,” katanya.


Designed By Asal Pelik