Umat Islam Murtad Jika Masuk DAP?

Murtad Jika Masuk DAP 


SEBENARNYA ada banyak sebab kenapa DAP kurang mendapat sokongan orang Melayu di negara ini. Selain dari usaha tanpa henti UMNO yang menggambarkan DAP sebagai parti perkauman cina dan pro komunis, kurangnya orang Melayu mengisi saf kepimpinan DAP juga dilihat sebagai penyumbang kepada hilangnya minat orang Melayu untuk menyertai parti itu.

Tapi jangan terkejut jika penulis dimaklumkan bahawa ada juga diantara faktor yang menghindar orang Melayu dari menyertai DAP itu juga berasal dari parti komponen dalam Pakatan Rakyat sendiri!!
Yang penulis maksudkan ialah Amanat Haji Hadi pada 1982, dimana amanat tersebut menghukum mana-mana orang Islam yang bekerjasama dengan orang bukan Islam sebagai kafir.
Selain dari itu, sebagai parti yang mengamalkan sistem sosialis, DAP turut menerima tempias apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak pencalonan mantan Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali di kawasan Parlimen Kota Bharu pada 2004 kerana beliau menyifatkan fahaman sosialis sebagai adik komunis.

Semua ini sekadar memburukkan lagi imej DAP di kalangan orang Melayu yang memang sedia tercalar oleh propaganda UMNO ke atas parti tersebut yang keterlaluan dan lebih menjurus kepada soal perkauman.
Sementara DAP berusaha keras membaiki imej negatif ke atasnya yang dilemparkan oleh UMNO melalui cara tersendiri dengan membawa masuk orang Melayu seperti Arif Sabri, Aspan Alias dan terbaru Hata Wahari, penulis melihat ada keperluan untuk kepimpinan PAS sendiri, terutama Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Hadi Awang sendiri (sebagai pencetus Amanat Hadi) membantu DAP mengikis tanggapan serong orang Melayu ke atasnya.

Cadangan penulis untuk Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi mengeluarkan fatwa bahawa orang Melayu yang menyertai DAP tidak kafir atau terkeluar dari landasan Islam.
Fatwa ini perlu diberi publisiti meluas di seluruh negara kerana dengan cara itu sahajalah orang Melayu akan lebih yakin untuk menyertai DAP sebagai wadah perjuangan politik mereka.
Lagipun DAP terbukti telah banyak berjasa kepada PAS apabila membantu calon parti tersebut memenangi beberapa kerusi parlimen dalam kempen pilihanraya umum 2008 dan beberapa siri pilihanraya kecil selepas itu.

Sebagai contoh, DAP telah berjaya membantu kemenangan calon PAS, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaludin di kawasan Parlimen Bukit Gantang pada 2009 dengan menyapu bersih undi nelayan cina di Kuala Sepetang, dikala undi dari kawasan orang Melayu terbahagi sama rata antara PAS dan UMNO.
Sebaiknya fatwa tersebut dikeluarkan dalam masa sehari dua ini bagi menambah keyakinan di kalangan orang Melayu terhadap parti tersebut.

Inilah masa dan ketikanya kedua parti menggunakan kelebihan masing-masing untuk membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam kempen pilihanraya umum akan datang. – SuaraPakatanRakyat


Designed By Asal Pelik