Upsi tetap dengar kes Adam Adli

Adam Upsi



 
 
SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan pendirian mahu mendengar kes tatatertib terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan banting berupa bendera Datuk Seri Najib Razak bulan lalu, 9 Januari ini.
 
Walaupun didesak pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk  Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari.
 
Menurutnya, meskipun perhimpunan di pekarangan Upsi awal pagi semalam bertujuan  mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya.
 
“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.
 
Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi.
 
Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan tindakan tatatertib.
 
Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli  dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semalam.
 
Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.
 
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.
www.dkini.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


Designed By Asal Pelik