3 menteri letak jawatan kerana tonton klip lucah ketika dewan bersidang

BANGALORE (India): Tiga menteri dari selatan India, termasuk seorang dengan portfolio pembangunan wanita dan kanak-kanak, meletakkan jawatan, semalam selepas mereka dituduh menonton video lucah ketika sidang dewan berlangsung.

Menteri dari parti pemerintahan, Bharatiya Janata Party (BJP) ditayangkan televisyen tempatan menonton siaran di telefon bimbit mereka, kelmarin ketika anggota dewan rancak berdebat. “Kami meletakkan jawatan untuk mengelak daripada memalukan parti dan tidak memberi pembangkang peluang untuk mengganggu sidang hari ini,” kata Menteri Koperasi, Laxman Savadi. 

“Kami sedang menonton klip video perbincangan parti yang dianjurkan di Pulau St Mary (di pantai barat Karnataka). Ia bukan klip video lucah,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, C C Patel dan Menteri Pelabuhan dan Perikanan, Krishna Palemar turut meletakkan jawatan. Dalam siaran televisyen menteri terbabit dilihat menonton klip seorang wanita menari, menanggalkan pakaian dan kemudian melakukan aksi seks. Mereka kemudian saling bertukar telefon bimbit.

“Ia perbuatan yang memalukan, Ketiga-tiga menteri itu sudah menyerahkan surat letak jawatan. Kami akan membentuk jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden itu,” kata jurucakap BJP, Nirmala Sitharaman di New Delhi.

Satu kaji selidik yang dijalankan majalah India Today pada 2008 mendapati tiga daripada lima lelaki dan seorang daripada lima wanita menyokong pornografi. Ia diharamkan di India, tetapi kegiatan itu masih berleluasa.






Designed By Asal Pelik