Aliff tinggalkan Singapura




DEMI mengembangkan kerjaya seninya, penyanyi remaja yang popular dengan lagu Sayang Sayang dan Kalau Cinta, Aliff Aziz, sanggup meninggalkan negara kelahirannya Singapura dan menetap di Malaysia bermula Januari lalu selepas menamatkan program khidmat negara selama dua tahun.
Di kala usia 21 tahun, Aliff sudah mula berdikari dan hidup seorang diri di Kuala Lumpur. Akuinya, meskipun terasa sunyi tanpa kehadiran keluarga, katanya, langkah berhijrah ke Kuala Lumpur merupakan keputusan yang tepat untuk kelangsungan kerjayanya.
"Memang terasa sunyi dan sedih juga bila teringatkan keluarga tetapi bagi saya keputusan ke Kuala Lumpur memang tepat dan tidak boleh ditangguhkan kerana dua tahun saya dalam program khidmat negara banyak perkara tertangguh. Sekarang saya memang berpusat di Kuala Lumpur seratus peratus.
"Sebelum ini saya berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura tetapi sekarang tidak lagi. Saya hanya akan pulang ke Singapura setiap tiga bulan sekali. Kalau ikutkan jarak di antara Kuala Lumpur dan Singapura bukannya jauh sangat, jika saya rindu sangat dengan keluarga, saya boleh balik bila-bila masa bergantung pada jadual," katanya yang ingin membawa ibu bapanya ke Kuala Lumpur jika kerjayanya sudah stabil.
Tambahnya, bagi mengelakkan terasa sunyi, dia akan mengisi masanya dengan bekerja sahaja.
"Saya habiskan masa dengan bekerja, sebab tujuan utama ke Kuala Lumpur adalah untuk kerja. Jadi, saya harus fokus dan serius. Saya rasa sejak tinggal sendirian, saya semakin matang dan berdikari. Biarlah saya susah sekarang untuk saya senang pada kemudian hari.
"Alhamdulillah, keluarga saya faham dan memberi kebenaran meskipun terdapat kebimbangan di hati mereka. Ibu saya berpesan, tinggal di negara orang, harus ingat asal usul dan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," tuturnya.
Kontroversi fotonya sebelum ini benar-benar mematangkan dirinya, kini apabila tinggal sendirian ke mana sahaja langkah kakinya, Aliff lebih berhati-hati.
"Saya kena jaga tingkah laku dan saya akan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara atau pergi ke mana-mana. Niat saya kini hanya untuk bekerja, jika berlaku juga kontroversi yang di luar jangkaan, kalau benar itu kesalahan saya, tidak boleh cakap apa lagi, memang saya kena tanggung sendiri," katanya tanpa cuba mengelak.
Tolak cinta
BERGABUNG. Dari kiri: Fara Fauzana, Bell Ngasri, Aliff Aziz dan Anne Ngasri berlakon bersama dalam drama komedi muzikal, Antara Kita.


Bohonglah jika tiada gadis yang ingin mendekati anak muda setampan Aliff. Bagaimanapun, jelas Aliff, kini dia lebih selesa berstatus solo, jika ada cinta di hatinya pun dia lebih selesa untuk berdiam diri daripada memberitahu seluruh dunia.
Alasannya, dia baru aktif di Malaysia dan banyak kerja yang harus dibereskan sebelum mengejar cinta.
"Kalau soal cinta, memang jauh lagi. Sekarang saya sedang seronok bekerja dan masih muda. Jika ada pun saya rasa lebih baik diam-diam sahaja. Walaupun sebagai artis, saya rasa bukan semua perkara saya harus kongsi dengan peminat, ada perkara yang harus saya simpan sendiri.
"Kalau saya kecoh-kecoh bercinta, lepas itu putus, perkara yang kecil akan jadi besar. Kalau sudah benar-benar mahu berkahwin, baru saya akan umumkan tetapi perkahwinan masih jauh dalam fikiran saya," tuturnya.
Walaupun sibuk dengan dunia seni, tersimpan jauh di sudut hati Aliff untuk menyambung pelajarannya seperti mana kebanyakan remaja seusianya tetapi dek kekangan masa hasrat itu tergendala buat sementara waktu.
"Kalau boleh saya memang nak sambung belajar, memang ada perancangan itu tetapi buat masa sekarang terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Jika boleh saya mahu sambung belajar di Malaysia dalam bidang kejuruteraan bunyi atau muzik," ulasnya.
Tegasnya, ilmu sangat penting buatnya kerana dia sedar populariti serta kelangsungan hayat kerjaya dalam bidang seni ada tarikh tamat tempohnya. Dia harus mempersiapkan dirinya dan melihat 10 tahun akan datang dia masih bekerja dalam bidang muzik.
"Muzik perkara nombor satu dalam hidup saya, apa sahaja yang saya lakukan harus ada kaitan dengan muzik. Jika saya tidak menyanyi lagi seperti hari ini, mungkin saya akan bekerja di belakang tabir dan menerbitkan lagu untuk orang lain," katanya.
Lakonan pertama
Selama bergelar penyanyi selain dalam video muziknya, Aliff tidak pernah berlakon. Kalendar 2012 Aliff dimulakan dengan penggambaran drama muzikal Antara Kita terbitan NS Star Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Darling Ngasri.
Tidak pernah merancang untuk berlakon apabila tawaran diberikan, Aliff ingin mencubanya kerana lakonan juga merupakan salah satu cabang dalam bidang seni.
"Memang saya tidak pernah berlakon dan tidak pernah ada latar belakang lakonan. Mula-mula memang rasa kekok tetapi apabila peluang sudah diberikan saya cuba buat yang terbaik. Saya menerima tawaran ini kerana ia sebuah drama muzikal dan sitkom.
WALAUPUN baru pertama kali berlakon, Aliff mendapat pujian daripada pengarah dan rakan pelakon lain kerana berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik.


"Pengalaman berlakon memberi saya pendedahan kerja seorang pelakon dan drama ini merupakan batu loncatan untuk saya ke bidang lakonan. Selepas berlakon, saya sudah jatuh cinta dengan bidang ini. Selepas ini jika ada tawaran yang sesuai saya akan menerimanya," balasnya.
Sungguhpun begitu, luah Aliff, bidang nyanyian tetap nombor satu buat dirinya kerana kerjayanya dimulakan dengan nyanyian, manakala lakonan jatuh di tangga kedua.
"Saya ingin cuba semua bidang yang berkaitan dengan seni, apa salahnya mencuba. Jika mendapat banyak tawaran lakonan, bidang nyanyian tetap diutamakan. Mana boleh saya tinggalkan bidang nyanyian yang sudah menjadi darah daging saya," katanya yang memegang watak Airil dalam drama Antara Kita.
Selepas menamatkan penggambaran drama, sepanjang Februari dia akan sibuk di studio untuk merakamkan album ketiganya yang dijangka berada di pasaran pada bulan Mac depan.
Album yang masih tidak berjudul itu memuatkan tujuh buah lagu dan tiga buah lagu minus one yang mendapat sentuhan komposer seperti Panji, Jimi (Sofaz) dan Azlan Abu Hassan.
"Lagu-lagu dalam album itu masih pop, sangat ringkas dan mesra telinga. Maknanya orang mudah menghafal lagu-lagu saya. Saya berterima kasih kepada peminat kerana walaupun sudah lama saya tidak muncul dengan lagu baharu, mereka masih mengingati saya dan lagu-lagu saya juga masih diputarkan di radio," ujarnya yang bernaung di bawah Sony BMG Malaysia.


Designed By Asal Pelik