Baron Cohen tabur debu mayat palsu Jong-il


SACHA BARON COHEN (berbaju putih) menaburkan abu mayat palsu Kim Jong-il di atas karpet merah Anugerah Oscar di Hollywood kelmarin.


HOLLYWOOD - Pelakon komedi terkenal dari Britain, Sacha Baron Cohen muncul pada acara karpet merah Anugerah Oscar kelmarin dengan memakai kostum seorang jeneral dalam filem terbaharunya, The Dictator.

Namun, dia yang berlakon dalam filem Borat memegang sebuah bekas yang mengandungi gambar bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il.
Cohen yang memegang bekas itu kemudian ditanya oleh hos, Ryan Seacrest kenapa dia teruja untuk menghadiri Anugerah Oscar.

"Ini memberi satu peluang untuk membawa rakan saya dan teman permainan tenis, Jong-il," kata Cohen yang diiringi dua wanita yang memakai pakaian tentera berwarna hijau.
"Adalah menjadi impiannya (Jong-il) untuk datang ke Oscar," tambahnya.
Pada satu ketika, dia berpura-pura untuk melepaskan bekas tersebut yang mengandungi abu mayat palsu Jong-il.

Abu itu kemudian ditaburkannya di atas karpet merah di depan kamera.
Beberapa pengawal peribadi menarik dia keluar semasa Seacrest meneruskan tugasnya membuat liputan secara langsung.

Namun, Cohen berada di belakang Seacrest dan mencaci maki beberapa pengawal.
Jong-il meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat serangan sakit jantung.




Designed By Asal Pelik