BNM Luluskan Urus Niaga Pertukaran Wang Asing

BNM Luluskan Urus Niaga Pertukaran Wang Asing

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa produk kewangan berlandaskan Syariah termasuk urus niaga berkaitan pertukaran asing yang ditawarkan dan diuruniagakan oleh institusi kewangan Islam berlesen diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah institusi kewangan masing-masing.
Malah, BNM melalui satu kenyataan media memberitahu, kelulusan itu juga perlu mendapat pengesahan daripada Majlis Penasihat Syariah BNM.

“BNM ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa membeli dan menjual mata wang asing di Malaysia hanya dibenarkan dengan bank perdagangan, bank-bank Islam, bank pelaburan dan bank-bank Islam antarabangsa berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 195 dan dengan penyedia perniagaan perkhidmatan wang (pengurup wang) berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut dipercayai dikeluarkan BNM sebagai reaksi kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing.
Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dipetik berkata, fatwa itu kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing berkenaan tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.

Kata beliau, jawatankuasa itu mendapati perniagaan yang melibatkan pertukaran wang asing melibatkan spekulasi mata wang dan bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam.


Designed By Asal Pelik