Foto isteri permintaan terakhir


Foto isteri permintaan terakhir
TEMERLOH, PAHANG – Maimunah Yaacob, 39, tidak menyangka hasrat suaminya untuk menyimpan sekeping gambarnya sebagai kenangan kira-kira dua minggu lalu adalah permintaan terakhir suaminya sebelum ditemui lemas di kampung Bohor, Kuala Bera, semalam.

Mayat Ahmad Riduan Kam Abdullah, 48, yang merupakan seorang nelayan ditemui terapung oleh penduduk kampung Bohor, Kuala Bera lebih 20 kilometer dari lokasi dipercayai jatuh dekat Kampung Bangau Parit di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, mayat Ahmad Riduan Kam Abdullah, 48, dikenal pasti selepas polis membawa isterinya Maimunah Yaacob membuat pengecaman di lokasi penemuan tengah hari semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran muka sauk Loji Air Seberang Temerloh di sini ketika pergi memukat ikan seorang diri tengah malam kelmarin.

“Kita mengenal pasti mayat ditemui penduduk kampung ini ialah mangsa yang kita cari sejak operasi bermula petang kelmarin, mayat kini dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk bedah siasat,” katanya semalam.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa keluar memukat ikan seorang diri selepas minum bersama rakannya di bandar Temerloh kira-kira jam 12.30 pagi.

Zundin berkata, kehilangan mangsa disedari seorang nelayan yang menemui bot mangsa terdampar di satu lokasi berhampiran loji tersebut.

“Nelayan terbabit yang mengesyaki sesuatu kemudian memberitahu penduduk kampung sebelum berusaha menjejak keluarga mangsa,” katanya.

Maimunah berkata, dia berkahwin dengan arwah kira-kira tiga tahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Dia yang kini menetap di Paya Pulai di sini berkata, sebelum kejadian, arwah ada meminta wang RM140 daripadanya untuk membaiki keretanya yang rosak dan baki wang itu digunakan untuk membeli pukat baru.

“Saya terkilan kerana, tengah hari kelmarin saya ada ajaknya keluar makan bersama, namun dia menolak kerana ada urusan lain.

“Dia juga ada meminta izin daripada saya untuk menyimpan sekeping gambar sebagai kenang-kenangan kira-kira dua minggu lalu, saya tidak sangka niatnya untuk menyimpan gambar itu petanda dia akan pergi selamanya,” katanya.

Maimunah berkata, arwah berasal dari Jerantut dan mempunyai tiga anak bersama isteri terdahulu dan bergantung hidup dengan menjadi nelayan di Sungai Pahang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Parit Fadhli Dzulkarnain mengucapkan penghargaan kepada Pegawai Daerah, wakil rakyat, penghulu, bomba, JPAM, polis dan penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang operasi mencari dijalankan.


Designed By Asal Pelik