Gadis muka monyet

 
 
 
SUPATRA SASUPHAN sering dipanggil ‘muka monyet’ atau ‘gadis serigala’ namun keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada berjaya dalam pelajaran.
Dia yang kini berusia 12 tahun menghidap Sindrom Ambras iaitu penyakit yang disebabkan oleh kecacatan genetik kromosom.
Menurut rekod, hanya 50 individu di dunia pernah mengalami penyakit tersebut.
Supatra ialah pelajar terbaik sekolahnya di Bangkok, Thailand.
Dia bercita-cita menjadi seorang doktor kerana ingin mengkaji lebih lanjut mengenai penyakitnya sendiri selain membantu keluarga dan masyarakat.
Semasa kecil, keadaan tubuhnya seperti kanak-kanak normal lain. Namun, apabila meniti usia remaja, bulu lebat mula tumbuh dalam kuantiti yang banyak di muka, telinga, kedua-dua belah tangan serta belakang badan.
Walaupun bapanya membawa Supatra mendapatkan rawatan menggunakan kaedah laser, situasi abnormal itu tidak berubah sebaliknya bulunya menjadi semakin lebat.
“Pada mulanya ada orang suka mengejek saya dengan memanggil saya muka monyet tetapi sekarang tidak lagi.
“Saya berharap akan pulih satu hari nanti,” katanya yang gemar berenang, menari dan menonton rancangan kartun.
“Saya peminat kartun animasi Bugs Bunny. Bagaimana pula dengan anda?” tanya Supatra kepada wartawan yang menemu bualnya baru-baru ini.
Jadi doktor
Mengapa dia ingin menjadi doktor?
“Saya mahu merawat seberapa ramai pesakit. Selain itu, saya hendak menjadi seorang pakar matematik dan mengajar subjek berkenaan kepada kanak-kanak supaya mereka meminatinya,” ujar Supatra.
Namun, kedua-dua hasrat murni gadis malang itu masih kabur disebabkan dia telah menjalani dua kali pembedahan hanya untuk memastikan dia dapat bernafas dengan baik.
Bapanya, Sammrueng, 38, memberitahu, anaknya sukar bernafas kerana lubang hidungnya terlalu sempit.
Tetapi bukan itu sahaja cabaran yang dihadapi oleh Sammrueng dan isterinya, Somphon, 38, sepanjang mereka menjaga zuriat istimewa itu.
“Jiran-jiran sering mengumpat saya dan isteri dengan mengatakan kami selalu membuat dosa besar sehingga mendapat anak sebegini.
“Selain itu, gigi anak kami itu juga tidak membesar dengan normal manakala penglihatannya semakin kabur,” ujarnya.
Si ibu akan memotong bulu di kepala, telinga, belakang serta kedua-dua tangan Supatra setiap hari.
Bukan itu sahaja, anak mereka itu juga menggunakan syampu rambut yang khas untuk bayi kerana menghadapi masalah alergi dengan syampu biasa.


Designed By Asal Pelik