Israel Rakan Dagang ke-15 Tidak Logik

 Israel Rakan Dagang ke-15 Tidak Logik

Shah Alam – Kedudukkan Malaysia di tangga ke-15 sebagai rakan dagang Israel adalah tidak logik dan sukar diterima kerana hubungan perdagangan kedua-dua negara dibuat melalui pihak ketiga.  Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hasan berkata, statistik tersebut tidak boleh dipercayai kerana Malaysia dan Israel tiada hubungan diplomatik.

“Dakwaan tersebut salah.  Apabila berada di tangga ke-15, nilai dagangan tinggi, mustahil perkara tersebut berlaku dan ia boleh dipertikaikan”, katanya.
Menurutnya, jika pihak ketiga mempunyai jumlah dagangan banyak dengan Israel dan berada di tangga ke 15, itu juga sukar untuk dipercayai.

Ditanya mengenai hubungan syarikat swasta terlibat dengan pemasangan komponen elektrik didakwa dibuat di Malaysia, Azmi menyatakan, setahunya Malaysia tiada hubungan dagangan dengan Israel dalam perkara tersebut.

“Jika pihak ketiga mungkin ada, tapi sukar ditentukan”. Katanya.
Beliau berkata Israel mempunyai banyak syarikat elektronik dan menjualnya kepada negara lain, yang menjualnya kepada Malaysia.

Kita tidak beli terus tetapi beli daripada pihak ketiga yang dipasang siap.  Contohnya penghawa dingin dari Israel dibeli oleh Malaysia.  Ia tidak menunjukkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Israel kerana negara kita membelinya daripada pihak ketiga yang siap memasangnya.
Sebelum ini, pihak pembangkang mendakwa Malaysia menduduki tangga ke-15 sebagai rakan kongsi perdagangan besar dengan Israel.

Diminta mengulas mengenai kesan politik terhadap Malaysia dengan wujudnya isu hubungan Malaysia dan Israel, Azmi menegaskan, pendirian Malaysia terhadap Israel jelas dan telus,  Ia tiada hubungan diplomatik dan perdagangan.

“Oleh itu, Barisan Nasional (BN), tidak perlu defensif seperti Pakatan Rakyat (PR) kerana isu ini memberi kebaikan menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang.
“PR menghadapi masalah kerana percanggahan pendapat melibatkan Mursyudul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim”. Katanya.

Tegasnya, jika mereka gagal menjelaskan perbezaan pendirian masing-masing, ia boleh mempengaruhi persepsi pengundi bahawa PR tidak sepakat dan Anwar bersendirian.

Ditanya apakah persepsi masyarakat terhadap PR jika ia memerintah Malaysia selepas PRU13, Azmi berkata, persepsi masyarakat adalah Malaysia akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.
“Persepsi ini mampu mengalih sokongan pengundi daripada PR kepada BN”, katanya. (Sinar Harian)




Designed By Asal Pelik