Pembuat bom dari Malaysia mati di Filipina


SEORANG jurucakap Tentera Filipina, Kolonel Marcelo Burgos menunjukkan gambar Zulkifli Abdul Hir pada satu sidang akhbar di Manila semalam.


MANILA - Tentera Filipina mendakwa pihaknya telah berjaya membunuh tiga orang militan Islam paling dikehendaki termasuk seorang pembuat bom dari Malaysia, Zulkifli Abdul Hir (gambar) dalam satu serangan udara yang dibantu oleh penasihat tentera dari Amerika Syarikat (AS) semalam.
Serangan bom itu dilakukan menjelang subuh di sebuah pulau terpencil di bahagian selatan yang turut menyebabkan 15 orang ahli kumpulan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiah yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda terbunuh.
"Ini satu kemenangan besar. Tiga orang pemimpin kanan terbunuh. Ia akan memberi impak yang sangat besar terhadap kemampuan pengganas," kata seorang komander tentera wilayah Filipina, Mejar Jeneral Noel Coballes.
Pesawat-pesawat membedil pinggir sebuah kampung di pulau Jolo selepas sumber risikan memaklumkan bahawa kira-kira 30 militan berpangkalan di kampung berkenaan.
Tiada tentera darat dikerahkan dalam operasi tersebut.
Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan merupakan seorang warga Malaysia yang didakwa menjadi orang kanan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah dan dalang beberapa siri serangan bom di Filipina.
Zulkifli juga dituduh menjadi pemimpin Kumpulan Mujahidin Malaysia, sebuah kumpulan mirip Jemaah Islamiah yang mahu membentuk sebuah negara Islam di Asia Tenggara.
Pada tahun 2007, AS menawarkan wang sebanyak AS$5 juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan Zulkifli, sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh AS.
Dalam laman web Jabatan Negara AS yang memaparkan maklumat mengenai orang paling dikehendaki kerana aktiviti keganasan, hanya empat orang ditawarkan wang ganjaran tinggi.
Antaranya ialah Ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Pihak berkuasa Malaysia menyambut baik berita kematian Zulkifli.
"Kami mengalu-alukan berita kematian Zulkifli ketika pasukan keselamatan di rantau ini meneruskan usaha menentang militan sepertinya," kata Ketua Gerak Khas Malaysia mengenai keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Tentera Filipina memberitahu antara yang terbunuh dalam serangan sama ialah Abu Pula, juga dikenali sebagai Doktor Abu dan Umbra Jumdail, salah seorang pemimpin utama organisasi militan Abu Sayyaf.
Abu Sayyaf didakwa melakukan serangan-serangan pengganas terburuk di Filipina termasuk meletupkan sebuah feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang, selain banyak kes penculikan di kawasan terpencil di selatan yang dihuni majoriti penduduk Islam. - Agensi


Designed By Asal Pelik